Anda di sini

Penambahan anggota polis di kawasan panas sempena TBC

Advertisement
HABIBI mengetatkan tali topi keledar seorang kanak-kanak semasa pelancaran Ops Selamat pada Sabtu.
HABIBI mengetatkan tali topi keledar seorang kanak-kanak semasa pelancaran Ops Selamat pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan panas atau lokasi berisiko kemalangan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya sudah mengenalpasti beberapa lokasi panas sekitar sini.

“Kita juga sudah menempatkan lebih ramai anggota polis di kawasan panas itu untuk menjalankan kerja rondaan serta pemantauan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Dengan kehadiran anggota polis kita di sana diharapkan pengguna jalan raya akan lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan dan sentiasa berhati-hati seterusnya mengelakkan kemalangan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Tungku Abdul Rahman di sini hari ini.

Habibi berkata, antara lokasi atau kawasan panas terbabit termasuklah Jalan Lintas, Jalan Sulaman dan Jalan Tuaran Lama.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan sebelum balik ke kampung halaman masing-masing dan memeriksa keadaan kenderaan terlebih dahulu sebelum menempuh perjalanan jauh.

“Bagi penduduk sekitar sini yang ingin balik ke kampung dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak polis atau mengisi borang balik kampung agar anggota kita boleh menjalankan rondaan di kawasan perumahan yang ditinggalkan.

“Ini juga bagi memastikan rumah yang tidak berpenghuni tidak dipecah masuk oleh penjenayah,” katanya.

Habibi juga mengingatkan kelab tarian singa yang belum mendapatkan izin dari pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

“Terdapat beberapa kelab tarian yang belum mendapatkan permit, oleh itu saya nasihatkan untuk mereka mendapatkan kebenaran segera bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement