Anda di sini

Musbah sambut baik hasrat Oisca usahakan jelapang padi Kota Belud

Advertisement
MUSBAH (empat kanan) menerima cenderahati dari Kuroda diiringi Salmah.
MUSBAH (empat kanan) menerima cenderahati dari Kuroda diiringi Salmah.

KOTA BELUD: Oisca International dari Jepun yang sedang melatih petani moden di Tenom menyatakan hasrat mendapatkan kawasan tanah sawah terbiar sekurang-kurangnya 3,000 ekar untuk tanaman padi menggunakan teknologi terkini dengan kemudahan infrastruktur dan prasarana yang sempurna.

Menyambut idea itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Musbah Haji Jamli mengalu-alukan Oisca melabur untuk memajukan tanah sawah terbiar di sini.

“Hasrat pelaburan Oisca dapat membangun tanah pertanian lestari dan konsep itu amat sesuai untuk kawasan jelapang padi Kota Belud,” kata Musbah sambil menjelaskan usaha sedemikian juga dapat mengekalkan ekosistem dan biodiversiti alam bagi menjamin keaslian semulajadi warisan generasi akan datang.

Menurut Musbah usaha itu juga dapat membangun sumber makanan untuk Sabah seiring dengan apa yang diusahakan di Semenanjung.

Musbah menyatakan demikian ketika menerima kunjungan hormat naib presiden Oisca International Kuroda Yunoshin, pakar tanaman padi Toru Miyano, timbalan setiausaha agung Kitsuki Fumio dan pengurus cawangan Modalin Industry Sdn Bhd Kota Belud Mursidi @ Ibrahim Jamran dan pengurus Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Salmah Labullah di pejabatnya di sini hari ini.

Musbah berharap hasrat pelabur berkenaan menjadi kenyataan demi meningkatkan bekalan beras di negeri ini di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Selepas pertemuan, rombongan Oisca International dan Modalin Industry dibawa oleh Salmah meninjau tiga Kawasan jelapang padi di sini.

Dalam tinjauan itu, beberapa kawasan sawah menarik perhatian Oisca untuk diusahakan iaitu Kg Kulambai 200 hektar dengan 40 peserta, Kg Piasau (150 hektar 150 peserta), Kg Tambulion (100 hektar 100 peserta), Kg Tamu Darat (50 hektar 40 peserta), Kg Tanjung Batu (140 hektar 140 peserta), Kg Payas Payas (60 hektar 60 peserta), Kg Kota Peladok (70 hektar 70 peserta), Kg Timbang Dayang (160 hektar 160 peserta) dan Kg Suang Punggur (70 hektar 70 peserta).

  • oleh
  • Advertisement