Anda di sini

Kaum Tionghua Sabah perlu bersabar

Advertisement
CHRISTINA (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian majlis itu.
CHRISTINA (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian majlis itu.

KOTA KINABALU: Kaum Tionghua di Sabah perlu sabar dan memberikan ruang kepada kerajaan baharu Sabah untuk membawa perubahan yang diinginkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk membawa perubahan yang diinginkan oleh seluruh rakyat Sabah.

"Segala perubahan dan reformasi memerlukan masa untuk dilaksanakan, maka saya menyeru kesabaran dari kaum Tionghua yang majoriti adalah perniaga supaya terus menyokong kerajaan baharu Sabah.

"Kerjasama anda sudah tentu memberi kesan dan impak demi kejayaan bersama," katanya ketika merasmikan Karnival Tahun Baha Cina 2019 di Lintasan Deasoka di sini, pada Malam Jumaat.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Shafie berkata, beliau sedar bahawa 90 peratus dari kawasan pilihanraya yang majoriti kaum Tionghua telah menyokong kerajaan negeri baharu melalui Parti Warisan, PKR dan DAP semasa pilihanraya umum lalu.

Beliau berkata, masyarakat Tionghua di Sabah kini berasa bimbang dengan kemerosotan harga minyak antarabangsa, ketidakstabilan harga kelapa sawit dan juga jumlah pelawat pelancong ke Sabah.

"Saya memberi jaminan bahawa perkara ini pasti dapat diatasi dalam tempoh yang singkat.

"Lebih-lebih lagi dengan dasar dan asas ekonomi termasuk sumber-sumber yang kaya bagi negeri Sabah akan dapat kita mencapai kejayaan yang lebih cemerlang secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut menjelaskan kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada penganjuran perayaan Tahun Baharu Cina kerana ianya sesuai dengan hasrat mahukan rakyat jelata meneruskan perayaan masing-masing mengikut suku kaum dan keagamaan, tetapi ianya turut disertai serta dimeriahkan oleh semua lapisan rakyat tidak kira bangsa dan agama.

"Saya percaya karnival ini dapat menampung keperluan semua pihak bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga pelancong dari negara China untuk bersama-sama merayakan perayaan ini di Sabah," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Menteri Belia dan Sukan Datuk Frankie Poon, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe, Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat Cina Kota Kinabalu (USCCAKK) Datuk Susan Wong serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement