Anda di sini

Jadikan kualiti hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lebih baik

Advertisement
 Rakyat tempatan dan juga pelancong asing mengambil peluang melawat di Istana Negara sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan ketika tinjauan fotoBernama di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
AMBIL PELUANG: Rakyat tempatan dan juga pelancong asing mengambil peluang melawat di Istana Negara sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan ketika tinjauan fotoBernama di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
 Pengunjung beriadah dan bergambar berlatarbelakangkan bangunan Perdana Putra dan arca Putrajaya’, iaitu mercu tanda tarikan terkini di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
TARIKAN: Pengunjung beriadah dan bergambar berlatarbelakangkan bangunan Perdana Putra dan arca Putrajaya’, iaitu mercu tanda tarikan terkini di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
 Para pengunjung beriadah dan bergambar berlatarbelakangkan bangunan Perdana Putra dan arca Putrajaya’, iaitu mercu tanda tarikan terkini di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
BERIADAH: Para pengunjung beriadah dan bergambar berlatarbelakangkan bangunan Perdana Putra dan arca Putrajaya’, iaitu mercu tanda tarikan terkini di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

WARGA kota perlu menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lebih bersih dan mesra alam sekitar agar penduduk dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata bagi memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Feb 1974, kerajaan bersama sektor swasta dan segenap lapisan mesyarakat harus bersatu untuk memberikan cadangan membawa Kuala Lumpur  ke satu tahap yang lebih membanggakan.

“Kita mesti menjadikan Kuala Lumpur lebih bersih, jadi kita mesti ada Kuala Lumpur yang boleh menjaga aspek-aspek berkenaan dengan penyelenggaraan yang lebih baik.

“Saya anggap Kuala Lumpur hari ini sudah banyak pembangunan infrastruktur dan pembangunan fizikal tetapi perlu usahakan aspek menjadikan lebih selesa dengan kualiti hidup lebih baik,” katanya ketika ditanya Bernama mengenai sambutan Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Tambah Lee, ruang bagi aktiviti beriadah dan rekreasi perlulah lebih banyak diwujudkan terutama taman-taman yang boleh menjadi ‘green lung’ untuk Kuala Lumpur.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar ibu kota di Dataran Merdeka dan sekitar kawasan tarikan pelancong antaranya Menara Berkembar Petronas di KLCC sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan mendapati ibu negara dibanjiri pelancong dalam dan luar negara.

Rata-rata pelancong luar negara berpuas hati dengan kepelbagaian kemajuan pembangunan di Kuala Lumpur dan kebersihan bandar raya itu.

Seorang pelancong dari Australia, Cathryne Nicholson, 60, berkata Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak ada di negaranya.

“Bandar raya (Kuala Lumpur) juga bersih, tidak sukar untuk berkomunikasi dengan warga tempatan kerana boleh bertutur bahasa lain termasuk bahasa Inggeris. Saya datang ke sini bersama suami saya dan ini kali kedua saya membuat lawatan ke Malaysia... saya suka rakyat di sini kerana mereka amat baik,” katanya.

Finor Fazli Izulfathi, 16,pelajar dari Indonesia pula berkata tahap kebersihan di Kuala Lumpur juga terjaga.

“Di sini ini lebih menjaga kebersihan dan lebih berdisiplin. Makanannya pula enggak (tidak) terlalu pedas dan kalau ada kesempatan di masa hadapan mahu datang ke sini lagi.

“Datangnya sejak kelmarin untuk kompetisi (pertandingan) dan ini pertama kali datang ke Malaysia. Istimewanya Malaysia ini ia bagus kerana ada Menara Berkembar Petronas dan banyak lagi yang mahu dikunjungi,” katanya.

Mohd Muizzuddin Abdullah, kakitangan awam, 27 berkata Kuala Lumpur terkenal sebagai syurga membeli-belah.

“Saya memang akan singgah sini sebelum pulang ke kampung di Terengganu dari Kluang, Johor,” katanya.

“Sekarang pula menjelang Tahun Baharu Cina, jadi saya ambil kesempatan kerana harga yang ditawarkan di pusat beli-belah jauh lebih murah jika dibandingkan di negeri saya,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Mohd Zuhairi Ibrahim berkata pelancong dalam dan luar negara khususnya dialu-alukan untuk datang dan mendapatkan maklumat lebih tepat tentang tempat-tempat menarik yang ada di Kuala Lumpur dan juga Malaysia.

Walaupun cuti am ataupun cuti peristiwa, pusat itu akan sentiasa dibuka dari jam 8 pagi hingga 10 malam, katanya.

Mohd Zuhairi juga berkata, pelancong asing yang mempunyai masalah seperti kehilangan barangan peribadi haruslah membuat laporan di Balai Polis Pelancong yang terdapat di MaTiC, Jalan Ampang.

“Kebiasaannya mereka ini tidak tahu di sini disediakan perkhidmatan khas untuk pelancong luar negara yang dibuka 24 jam oleh Polis Diraja Malaysia. — Bernama

Advertisement