Anda di sini

Kelalaian punca utama kebakaran pada musim perayaan

Advertisement
CHRISTINA menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil pusat tumpuan yang hadir semasa Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2019 peringkat JBPM Sabah.
CHRISTINA menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil pusat tumpuan yang hadir semasa Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2019 peringkat JBPM Sabah.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan masyarakat untuk tidak lalai dan sentiasa fokus di bahagian dapur semasa memasak sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik berkata kelalaian semasa memasak adalah punca utama yang menyebabkan bermulanya kebakaran sepanjang tempoh perayaan.

"Masyarakat dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa berada di dapur dan lebih fokus kepada masakan berikutan bila terlalu penat mereka akan meninggalkan dapur dalam keadaan terpasang sehingga berlakunya kebakaran.

"Pada 2016 rekod jabatan menunjukkan 26 kes dan 2017 menurun kepada 10 kes manakala tahun lalu meningkat kembali kepada 15 kes, tahun ini kita harapkan kes kebakaran tidak berlaku pada musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2019 peringkat JBPM Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Kamarulzaman berkata, kempen ini juga bertujuan mengingatkan kawasan tumpuan termasuk pusat beli belah dan hotel berikutan pelancong serta pengunjung dari luar akan berkunjung ke kawasan ini.

"Kita pastikan pusat tumpuan ini adalah selamat kepada mereka dan selamat kepada masyarakat setempat.

"Fokus kita adalah memastikan Sabah bebas dari bahaya kebakaran dan selamat sepanjang musim perayaan agar kita dapat merayakannya dalam suasana aman dan damai," katanya.

Sementara itu Christina berkata pihaknya gembira dengan pelaksanaan kempen ini dalam persediaan merayakan Tahun Baharu Cina selain memberikan pendedahan kepada pentingnya menjaga kebakaran kepada masyarakat.

"Masyarakat perlu berkerjasama memastikan musim perayaan berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini bersama dedikasi anggota bomba yang tidak bercuti dan bersiap sedia dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

"Pemilik rumah dan kedai juga dinasihatkan untuk berhati-hati dalam apa sahaja kegiatan sepanjang Tahun Baharu Cina agar tiada kesedihan dalam merayakan hari penting setiap tahun," katanya.

  • oleh
  • Advertisement