Anda di sini

Diane Kruger, Martin Freeman bakal meriahkan festival filem Berlin

Advertisement
DIANE KRUGER
DIANE KRUGER

FILEM baharu yang dibintangi Diane Kruger, Martin Freeman dan Catherine Deneuve serta filem-filem cereka yang diarah oleh dua pelakon Hollywood Jonah Hill dan Casey Affleck akan menjadi tumpuan di festival filem Berlin pada bulan depan.

Berlinale selama 11 hari, sekarang memasuki tahun ke-69, tersenarai bersama Cannes dan Venice sebagai antara festival senarai A di Eropah.

Ia akan mempersembahkan kira-kira 400 buah filem dari seluruh dunia sebelum ia berakhir pada 17 Februari.

Edisi pada tahun ini adalah yang terakhir diketuai Dieter Kosslick, yang akan melepaskan tampuk selepas 18 tahun.

“Dunia audio-visual berada dalam kemelut yang amat, amat serius dan kita perlu melihat ke mana perjalanan ini akan membawa kita,” kata Kosslick, 70, kepada pemberita, yang merujuk kepada persaingan daripada gergasi striming seperti Netflix.

“Tetapi saya rasa pada masa depan, festival filem akan menjadi lebih penting berbanding selama ini kerana anda akan melihat filem yang anda tidak dapat lihat di tempat lain (atas skrin besar). Saya rasa ia (striming dan festival) akan wujud bersama.”

Sebanyak 17 buah filem akan bertanding untuk hadiah-hadiah ‘Golden and Silver Bear’ di Berlinale, termasuk rekod tujuh filem daripada pengarah wanita seperti veteran Poland, Agnieszka Holland, dan Lone Scherfig (‘An Education’) dari Denmark.

Scherfig akan membuka festival pada 7 Februari dengan drama pahit-pahit manis ‘The Kindness of Strangers’ dengan latar belakang New York dan dibintangi Zoe Kazan, Andreas Riseborough dan Bill Nighy.

Bintang Perancis Juliette Binoche akan mengetuai juri yang turut dianggotai seorang lagi pemenang anugerah Oscar, Sebastian Lelio dari Chile (‘A Fantastic Woman’), aktres/pengarah/penerbit British Trudie Styler, kurator Muzium Seni Moden Rajendra Roy, aktres Jerman Sandra Hueller (‘Toni Erdmann’) dan pengkritik dari Amerika Syarikat (AS) Justin Chang.

Kruger dan Freeman dijangka memeriahkan lagi permaidani merah di Berlin untuk tayangan perdana filem aksi perisikan ‘The Operative’ oleh Yuval Adler.

- Masyarakat tanpa wanita -

MORGAN FREEMAN
MORGAN FREEMAN

Di luar acara utama, Affleck akan mengadakan tayangan perdana untuk filem ‘Light of My Life’, sebuah drama distopian yang dibintangi Elisabeth Moss (‘The Handmaid’s Tale’) dan latar belakang sebuah masyarakat tanpa wanita.

Filem arahan sulung Hill ‘Mid90s’ juga akan ditayangkan dalam bahagian sampingan Panorama bersama ‘Skin’, yang dibintangi Jamie Bell, tentang dunia neo-Nazi AS dan ‘The Souvenir’ yang memaparkan Tilda Swinton dengan anak perempuannya sendiri, Honor Swinton Byrne.

Deneuve mengetuai barisan pelakon bagi filem ‘Farewell to the Night’ yang diarah oleh Andre Techine dan ditayangkan di luar pertandingan.

Pengarah Turki-Jerman Fatih Akin, yang memenangi anugerah Golden Globe pada tahun lepas untuk dramanya mengenai terorisme ‘In the Fade’ lakonan Kruger, akan mengadakan tayangan perdana untuk filem ‘The Golden Glove’ tentang seorang pembunuh di bandar asalnya Hamburg.

China akan diwakili dalam pertandingan oleh dua filem cereka, ‘One Second’ oleh Zhang Yimou dan ‘So Long, My Son’ oleh pengarah kegemaran festival Wang Xiaoshuai.

Selepas memenangi hadiah utama Golden Lion di festival filem Venice pada September lalu dengan ‘Roma’, Netflix akan turut serta di Berlin buat pertama kali dengan ‘Elisa and Marcela’ oleh Isabel Coixet dari Sepanyol.

Pemenang Golden Bear pada tahun lepas adalah dokudrama seks ‘Touch Me Not’ by Romania’s Adina Pintilie. — AFP

Advertisement