Anda di sini

Umno Sabah sudah lumpuh, kata Saddi

Advertisement
SADDI
SADDI

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berkata, Umno Kinabatangan dan Sabah sudah lumpuh ekoran pemimpin dan ahlinya keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sehubungan itu, katanya, Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin seharusnya menerima hakikat bahawa parti itu tidak lagi relevan di negeri ini.

"Pemimpin Umno macam Bung Mokhtar ada penyakit sindrom penafian dan tidak menarima hakikat bahawa Umno Kinabatangan dan Umno Sabah sudah lumpuh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di bahagian Umno Kinabatangan sahaja, katanya, sudah lebih 60 peratus ketua dan ahli cawanganya telah menyertai Warisan ekoran kemasukan beliau dan ada yang lebih awal meninggalkan Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Cukuplah jadi pemimpin yang hipokrit. Kita akan buktikan kepada Umno Kinabatangan dan Umno Sabah sudah tidak relevan lagi dalam konteks politik negeri Sabah.

"Umno sudah tidak diperlukakan lagi di Sabah sebab kami sudah ada Parti Warisan yang berjuang untuk mempertahankan hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 63 (MA63), yang sudah terhakis tampa diambil perhatian oleh pemimpin Umno sejak 55 tahun yang lalu, akhirnya hari ini negeri Sabah jauh ketinggalan dalam semua aspek pembangunan dan ekonomi," katanya.

Beliau mengalu-alukan kenyataan Bung Mokhtar yang menyokong Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal tetapi perlu berlandaskan keikhlasan dan fakta sesuai dengan konteks senario politik hari ini, bukan dilihat sebagai kenyataan sekadar retorik dan hipokrit.

Advertisement