Anda di sini

KPLB terima laporan kerosakan kemudahan awam akibat banjir

Advertisement

KOTA MARUDU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah telah menerima laporan kerosakan membabitkan kemudahan awam akibat banjir baru-baru ini untuk dibaik pulih.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata senarai laporan awal sudah diterima antaranya membabitkan kerosakan jalan raya desa, balai raya atau dewan dan jambatan gantung.

Menurutnya senarai kerosakan itu telah dikemukakan kepada KPLB persekutuan untuk mendapatkan peruntukan khas kecemasan.

“Kita akan panggil satu perbincangan untuk menentukan bagaimana kerosakan itu dapat dibaik pulih atau bina baharu.

“Ini sudah dibincangkan semasa banjir berlaku supaya satu peruntukan kecemasan dapat diguna untuk membina semula kerosakan kemudahan awam di daerah terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan untuk mangsa banjir di sini, semalam.

Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi menerima sumbangan tersebut berupa barangan makanan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Banjir berlaku baru-baru ini di daerah Kota Marudu, Sipitang dan tiga daerah kecil iaitu Matunggong, Pitas dan Paitan.

Kota Marudu membabitkan ramai mangsa banjir dipindahkan ke 12 Pusat Penempatan Sementara iaitu 2,700 orang membabitkan 718 keluarga.

Ewon berkata satu mesyuarat akan diadakan antara KPLB negeri dan persekutuan selepas sambutan Tahun Baharu Cina ini untuk memuktamadkan bantuan kepada daerah-daerah  yang terlibat.

Katanya nilai kerosakan kemudahan awam terlibat belum dikenal pasti.

“Pegawai daerah bersama KPLB negeri dan persekutuan akan turun padang melihat dan meneliti semula senarai tersebut sejauh mana kerosakan tersebut dan kos pembaikan yang terlibat.

“Selepas itu barulah menentukan kos untuk kerja baiki kerosakan atau bina semula kemudahan tersebut,” katanya.

Terdahulu beliau mendengar taklimat yang disampaikan oleh Arnold.

Beliau kemudian ke Pitas untuk menyampaikan sumbangan mangsa banjir di daerah kecil itu. — Bernama

Advertisement