Anda di sini

13 barangan skim harga kawalan sempena TBC 2019

Advertisement
STEPHEN melancarkan SKHMP Tahun Baharu Cina 2019 di CKS Supermarket, Manggatal.
STEPHEN melancarkan SKHMP Tahun Baharu Cina 2019 di CKS Supermarket, Manggatal.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti sebanyak 13 ienis barangan bagi pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Tahun Baharu Cina 2019.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, skim itu dilaksanakan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 5 Februari ini di seluruh negara.

Katanya tarikh kuat kuasa Skim itu adalah dari 30 Januari hingga 8 Februari 2019. Tempoh kuat kuasa bagi SKHMP Tahun Baharu Cina 2019 adalah selama 10 hari iaitu selama enam hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

"Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya ketika melancarkan SKHMP Tahun Baharu Cina 2019 di CKS Supermarket Manggatal, di sini hari ini.

Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging babi bagi pelaksanaan skim pada tahun ini.

"Kesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran," katanya.

Stephen berkata, senarai harga barangan harga terkawal bagi SKHMP Tahun Baharu Cina 2019 adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya).

Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpakaki, kepala, hati dan hempedal), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram dan 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram dan 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram dan 59.9 gram sebiji).

Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), ikan bawal putih (berat 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih besar (41 hingga 60 ekor sekilogram).

Babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Stephen berkata, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim itu.

Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dan boleh dikenakan penalti iaitu individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000.

Sementara syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagı barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Stephen, yang juga Ahli Parlimen Kinabalu berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga di pasaran adalah berpatutan.

Di samping itu, katanya, pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan.

"Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan," katanya.

Katanya, KPDNHEP turut memperkukuhkan pemantuan harga dengan mengadakan kerjasama bersama pelbagai pihak antaranya Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negara.

Friends Of KPDNHEP (FOK) yang merupakan mata dan telinga kementerian akan bekerjasama dengan pengguna yang menyertai program itu bagi menyebarkan maklumat berhubung kepenggunaan terutama mengenai isu harga barang.

Stephen menyarankan pengguna agar memuat turun aplikasi Price Catcher bagi membolehkan pengguna mencari pelbagai barangan pada harga berpatutan daripada peniaga-peniaga di kawasan berdekatan.

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim itu, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui Portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, emel ke [email protected] dan aplikasi telefon pintar Ez ADU.

Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/ 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), Whatsapp ke 019- 279 4317 atau lapor/hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Cawangan KPDNHEP Sabah di talian Kota Kinabalu (088-484 368), Sandakan (089-668 1070, Tawau (089-776 690), Tuaran (088-787 822), Kudat (088-615 311), Keningau (087-338 400), Lahad Datu (089-886 090), Semporna (089-782 866) dan Beaufort (087-222 240).

  • oleh
  • Advertisement