
BONGAWAN : Kepayahan dialami Kamsiah Matasan, 72, yang menjaga enam cucunya bersendirian sebagaimana dilaporkan dalam akhabar tempatan sebelum ini mendapat perhatian isteri kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah.
Toh Puan Datuk Norlidah R.M Jasni bersama jawatan kuasa Yayasan Tun Juhar diiringi rombongan Pertubuhan Suara Anak Muda Sabah (SUARA) mengadakan ziarah sekali lagi ke rumah warga emas itu di Kampung Nyaris-Nyaris, di sini.
Dalam lawatan itu, Toh Puan menyampaikan bantuan barangan dapur serta wang tunai bagi meringankan beban keluarga terbabit selepas kisah mereka didedahkan melalui Progam Jejak Asnaf SUARA.
Kamsiah yang ditemui amat gembira dengan kunjungan Toh Puan dan turut menyifatkan bantuan diterimanya itu sebagai satu rahmat Allah yang akan dikenang sampai bila-bila.
"Syukur ke hadrat Ilahi atas segala bantuan yang kami terima sejak kebelakangan ini khususnya ziarah daripada Toh Puan yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga.
"Segala bantuan yang dihulurkan ini amat saya hargai dan akan kami kenang sampai bila-bila," katanya di program yang turut dihadiri pemimpin masyarakat setempat serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) Bongawan.
Hadir sama Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan, Lichet Manuel; Pengerusi SUARA Zon Pedalaman Bawah, Rozley Suhaili; Presiden SUARA Pusat dan Helmi Shahril Ag Kassim.

Sempena program sehari itu, Toh Puan dan rombongan turut berkesempatan mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada dua buah keluarga miskin di Kampung Binsulok, Membakut, di sini.
Antara yang mendapat perhatian adalah keluarga Rosidah Kabun, 36, yang terpaksa tinggal di stor sempit bersama suami dan dua anaknya akibat kemiskinan.
Rosidah yang ditemui menghargai keprihatinan Toh Puan serta pihak lainnya yang tampil membantu selepas kesusahan mereka sekeluarga dikenal pasti melalui Program Jejak Asnaf SUARA.
Rombongan Toh Puan turut disambut pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
Sementara itu, Rozley menyeru lebih ramai pihak tampil membantu keluarga terbabit termasuk golongan miskin lainnya di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, pihak SUARA sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memastikan usaha murni ini menjadi amalan budaya kepada setiap warga Malaysia.
"Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana inisiatif ini dapat membantu pihak kerajaan mengenal pasti golongan tidak berkemampuan yang memerlukan bantuan daripada kita," katanya.