Anda di sini

Tiga kenderaan dipandu guru terbabit kemalangan

Advertisement
 

TAWAU: Tiga guru yang memandu tiga kenderaan berasingan terlibat dalam satu kemalangan di KM12 Jalan Tawau-Merotai di sini kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata ketiga-tiga guru terbabit dalam perjalanan menuju ke sekolah sebelum kemalangan berkenaan menimpa mereka.

“Kenderaan pertama dipandu seorang guru wanita, 35, yang turut membawa seorang lagi guru sebagai penumpangnya, wanita, 35,dan murid lelaki berumur tujuh tahun.

“Kenderaan kedua pula dipandu seorang guru wanita, 46, yang membawa penumpang seorang murid lelaki, 10,” katanya menerusi kenyataan medianya di sini.

Fadil berkata kenderaan ketiga dipandu seorang guru lelaki, 43,  yang membawa dua pelajar perempuan, masing-masing berumur 15 dan 13 tahun, di kerusi penumpang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu kenderaan ketiga tersepit di keretanya dan cedera di dada, manakala penumpangnya yang berumur 15 tahun pula luka di dahi.

“Manakala, kesemua mangsa lain yang terlibat di dalam kemalangan ini iaitu tiga guru wanita dan tiga remaja, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan keadaan jalan licin selepas hujan menyebabkan pemandu kenderaan ketiga gagal mengawal keretanya,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan ketiga terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pertama dan kedua yang datang dari arah hadapan.

Menurutnya, kenderaan ketiga didapati dalam perjalanan dari arah Merotai menuju ke Bandar Tawau sebelum tergelincir ke tepi sebelah kiri jalan ketika di lokasi kejadian.

“Stering kenderaan itu terputar ke sebelah kanan sebelum termasuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan perlanggarannya dengan dua kenderaan lain.

“Kejadian itu menyebabkan kenderaan pertama tersorong ke bahu kanan jalan sebelum kenderaan ketiga terpusing dan melanggar pula kenderaan kedua,” katanya.

 Polis menjalankan siasatan kes ini mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN 166/ 59 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Sjn Jabinus Mailon.

  • oleh
  • Advertisement