Anda di sini

Kua tidak menang tangan siapkan tempahan kuih kapit

Advertisement
 Kua memastikan kuih kapit yang dibakar tidak hangus sempena persiapan sambutan Tahun Baru Cina di kediamannya di Kampung Mata Ayer, Kemubu dekat Mancang, baru-baru ini. — Gambar Bernama
TIDAK MENANG TANGAN: Kua memastikan kuih kapit yang dibakar tidak hangus sempena persiapan sambutan Tahun Baru Cina di kediamannya di Kampung Mata Ayer, Kemubu dekat Mancang, baru-baru ini. — Gambar Bernama

SELAIN kuih bakul, kuih kapit juga tidak terkecuali menjadi antara juadah istimewa bagi kaum Cina setiap kali Tahun Baharu Cina.

Maka, tidak hairanlah apabila menjelang sambutan perayaan itu, pembuat kuih kapit tidak menang tangan menyiapkan tempahan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat, apatah lagi ia dihasilkan  menggunakan kaedah tradisional yang dibakar di atas bara api.

Kua Bee Kiok, 58, yang membuat kuih kapit sejak lebih 20 tahun lalu berkata walaupun proses pembuatan kuih itu agak mudah, tetapi ketepatan masa ketika membakar amat penting agar kuih tidak hangus.

“Proses membuat kuih ini perlu pantas yang mana ia tidak boleh terlalu lama atas bara. Selepas dibakar kuih itu perlu dilipat ketika masih panas dan dimasukkan ke dalam balang supaya kekal rapuh,” kata suri rumah itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mata Ayer dekat Kemubu di Machang.

Kua berkata untuk menyediakan kuih kapit itu, dia akan mengadunkan tepung gandum, telur, santan dan sedikit gula dan memasukkan bancuhan kuih ke dalam pengepit besi kemudian dibakar di atas bara.

“Setiap hari saya berjaya menyiapkan enam botol plastik dengan setiap satunya berisi 70 keping kuih kapit... sejak sebulan lalu, saya tidak menang tangan apabila menerima banyak tempahan daripada penduduk kampung dan orang luar,” katanya.

Kua yang tinggal berdua dengan suaminya, Chang Loe See, 66, berkata walaupun permintaan terhadap kuih kapit ini menggalakkan setiap kali perayaan, namun tidak ramai yang berminat mempelajari cara  pembuatannya.

 Kuih kapit yang diperbuat daripada adunan tepung beras, telur, gula dan santan kelapa laris setiap kali musim perayaan dan merupakan kuih tradisional masyarakat Cina. — Gambar Bernama
MENU WAJIB: Kuih kapit yang diperbuat daripada adunan tepung beras, telur, gula dan santan kelapa laris setiap kali musim perayaan dan merupakan kuih tradisional masyarakat Cina. — Gambar Bernama

Katanya, dia mempelajari membuat kuih tradisional masyarakat Tionghua itu daripada nenek moyangnya yang berasal dari Pulau Chondong di Machang, malah kesemua peralatan yang digunakan adalah peninggalan nenek moyangnya juga.

“Generasi sekarang mungkin sudah tidak tahu bagaimana proses menyediakan kuih kapit, hanya tahu menikmatinya. Saya sendiri belajar membakar kuih kapit ini sejak remaja dan mengambil masa yang agak lama untuk mahir,” katanya yang fasih berbahasa Malaysia.

Ibu kepada empat anak dan nenek kepada 13 cucu itu berkata selain dijamu kepada tetamu, kuih kapit turut dijadikan sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir pada Tahun Baharu Cina. — Bernama

Advertisement