Anda di sini

Jadikan sambutan perayaan sebagai platform mengekalkan keharmonian

Advertisement
STEPHEN (enam kanan), Frankie (lima kanan), Jannie (empat kanan), Jenifer (enam kiri), Tan (lima kiri), Chan (empat kiri) dan Phoong (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan gimik perasmian.
STEPHEN (enam kanan), Frankie (lima kanan), Jannie (empat kanan), Jenifer (enam kiri), Tan (lima kiri), Chan (empat kiri) dan Phoong (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan gimik perasmian.

KOTA KINABALU: Rakyat dinasihatkan mengambil peluang sambutan perayaan untuk menguatkan lagi hubungan silaturahim di antara satu sama yang lain dalam usaha mengekalkan perpaduan serta keharmonian dalam negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong berkata, Sabah sebuah negeri yang unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain dalam negara ini khususunya Semenanjung Malaysia.

"Di sini kita tolak sentimen perkauman, di sini kita bersikap toleransi di antara satu sama lain...kita hidup dalam keadaan harmoni disebabkan perpaduan yang dicapai kukuh.

"Saya menyeru kepada semua rakyat negeri ini untuk teruskan usaha mengekalkan kesefahaman dan keharmonian seterusnya menumpukan pembangunan positif Sabah," katanya ketika menyempurnakan Karnival Tahun Baharu Cina 2019 Lido, di sini pada malam Selasa.

Beliau berkata, karnival seumpamanya menyediakan platform untuk pelbagai tujuan kebaikan kepada rakyat di sekitar bandaraya ini.

Katanya, para peniaga mampu meningkatkan pendapatan menerusi gerai-gerai yang diusahakan.

"Para murid dan pelajar yang membuat persembahan mampu menonjolkan bakat masing-masing dan para pengunjung pula boleh hadir sama menyaksikan persembahan kebudayaan sempena Tahun Baharu Cina.

"Keadaan seumpamanya sangat penting kepada kita di negeri ini agar mampu sentiasa bersama-sama bekerjasama menuju ke arah perpaduan, harmoni dan toleransi," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Datuk Frankie Poon, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe, Adun Likas Tan Lee Fat, Adun Kepayan Jannie Lasimbang dan Adun Moyog Jenifer Lasimbang serta tetamu kehormat yang lain.

Program yang diadakan selama tiga hari itu bermula malam selasa akan berakhir pada malam Khamis. Seramai 400 warga emas turut diberikan bantuan berupa keperluan makanan, minuman dan ang pow.

  • oleh
  • Advertisement