Anda di sini

UMS tempat kedua Pertandingan Huawei ICT Malaysia

Advertisement
TEOH (tiga dari kiri) menyempurnakan penyampaian hadiah kepada peserta UMS. Turut kelihatan Kamarudin (empat dari kiri).
TEOH (tiga dari kiri) menyempurnakan penyampaian hadiah kepada peserta UMS. Turut kelihatan Kamarudin (empat dari kiri).

KOTA KINABALU: Pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih tempat kedua pada Pertandingan Akhir Huawei ICT Malaysia 2018-2019 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan daripada UMS, kejayaan itu diperoleh melalui tiga pelajar dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) iaitu Liew Chun Khai, Lynnett Lim Weng Khey dan Tan Yee Leng serta seorang pensyarah FKI yang juga tutor pasukan, Dr Tan Soo Fun.

“Kemenangan ini membolehkan pasukan UMS meraih hadiah empat telefon Huawei Nova 3 berserta wang tunai RM2,000.

“Kesemua mereka terlebih dahulu berjaya melepasi peringkat awal pertandingan yang berlangsung pada 13-14 Disember 2018 dan turut dipilih mengikuti Program Pentauliahan Profesional Huawei ICT Associate (HCIA) serta latihan persiapan peringkat akhir,” menurut kenyataan itu hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Teoh Nie Ching.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Huawei ICT Academy Malaysia kepada Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kamarudin D Mudin sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang UMS dalam pembangunan bakat ICT.

Pertandingan itu antara lain bertujuan memupuk bakat ICT tempatan dan membangunkan pemimpin ICT generasi yang akan datang di Malaysia selain mempromosikan daya saing ICT negara, inovasi dan kreativiti, yang menjadi asas untuk membina ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pertandingan akhir menyaksikan tujuh pasukan dari tujuh universiti bersaing iaitu UMS, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UNITEM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Taylor dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Hadir sama, Dekan FKI Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Noor Hapipah Samat.
 

  • oleh
  • Advertisement