Anda di sini

SMK Tambulion, SK Tangkurus terima sumbangan RM15,000

Advertisement
EWON bergambar bersama Pasukan Hang Tuah.
EWON bergambar bersama Pasukan Hang Tuah.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan 'touchpoints' sejumlah RM15,000 untuk SMK Tambulion dan SK Tangkurus di sini.

Beliau yang juga Adun Kadamaian berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM10,000 disumbangkan kepada SMK Tambulion untuk membeli keperluan seperti meja dan kerusi pelajar dan selebihnya untuk Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tangkurus.

“Ini adalah peruntukan daripada touchpoints Adun Kadamaian. Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan para pelajar sekolah.

"Semoga suatu hari nanti, para pelajar ini yang akan menjadi alumni sekolah dan kembali semula ke sekolah ini untuk membantu memenuhi keperluan pada masa itu.

"Kita berharap sumbangan ini dapat menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah yang dihadapi pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Sukan Bola Baling Peringkat Zon Timur Kota Belud di SK Tangkurus dan penutupan Kejohanan Sukan Tahunan SMK Tambulian, di sini.

Ewon berkata beliau akan terus memberi sokongan kepada program-program kecemerlangan sekolah, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

“Bagi Kampung Tangkurus, pada tahun lepas, saya telah memberi peruntukan untuk naik taraf sebahagian jalan menuju ke kawasan eko-pelancongan kampung itu kepada jalan konkrit.

"Sementara pada tahun ini, bersempena dengan lawatan ke SK Tangkurus, saya telah meninjau keperluan membaik pulih dan membina semula dewan terbuka sekolah ini, maka saya bertekad untuk menyalurkan peruntukan untuk tujuan itu pada tahun ini bagi kemudahan warga SK Tangkurus khasnya dan komuniti kampung amnya.

"Selain itu, saya juga menyampaikan sumbangan touchpoints Adun Kadamaian sebanyak RM5,000 kepada SK Tangkurus dan Tabung PIBG sekolah itu sebagai tanda sokongan, serta menyampaikan satu set speaker mudah alih kepada pihak sekolah,” katanya.

Sementara itu, johan keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Tahunan SMK Tambulion dimenangi Pasukan Rumah Sukan Hang Jebat, tempat kedua Hang Lekir dan ketiga Hang Tuah.

Olahragawati dan olahragawan A masing-masing dimenangi Lystra Magdalena Kiansan dan Richewin Amung Harry.

Bagi kategori B pula, olahragawati dimenangi Evory Beatrice Marikus manakala olahragawan pula ialah De Hans Noel.

Advertisement