Anda di sini

Rumah orang kampung disyaki jadi tempat simpanan tong LPG

Advertisement
PEGAWAI KPDNHEP bertanyakan soalan kepada suspek semasa serbuan dijalankan.
PEGAWAI KPDNHEP bertanyakan soalan kepada suspek semasa serbuan dijalankan.

TAWAU: Sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau menyerbu sebuah rumah disyaki menjadi tempat simpanan tong gas petroleum cecair (LPG) yang hendak diseludup ke negara jiran.

Serbuan dijalankan di Kg Tg Batu Laut di sini kira-kira jam 10 pagi tadi serta melibatkan penahanan seorang suspek dan rampasan sebanyak 35 tong LPG (14 kg).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Tawau Aslani Dabi berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek ditahan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun.

“Kesemua tong LPG itu dirampas kerana dipercayai disimpan secara tidak sah di rumah terbabit secara sementara sebelum diseludup keluar dari daerah ini,” katanya,

Berdasarkan pemeriksaan juga, pihaknya mendapati premis itu memiliki barang kawalan terbabit tanpa sebarang dokumen kebenaran atau lesen sah.

Beliau berkata nilai keseluruhan tong LPG berkenaan termasuk sebuah lori jenama Toyota yang turut dirampas dianggarkan berjumlah RM28,500.

“Kita akan mengenal pasti syarikat yang bertanggungjawab membekalkan tong LPG itu kepada premis tidak berlesen terbabit dan tindakan undang-undang boleh diambil.

“Ia selaras dengan peruntukan yang berdasarkan Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1947 terhadap syarikat pembekal tong LPG terlibat,” katanya.

Menyentuh langkah penahanan dan rampasan yang dilakukan KPDNHEP pula, Aslani berkata tindakan itu diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kes ini disyaki membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah,” katanya sambil mendedahkan KPDHEP akan menggiatkan lagi serbuan mereka.

  • oleh
  • Advertisement