Anda di sini

RT terus relevan dalam komuniti

Advertisement
DELIN menyampaikan cenderahati kepada Kusen.
DELIN menyampaikan cenderahati kepada Kusen.

LAHAD DATU: Rukun Tetangga (RT) sebuah organisasi sukarela yang masih relevan peranannya dalam mencapai matlamat penubuhannya.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) Negeri Sabah Delin Liet Blaun berkata, sebanyak 1,047 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Sabah telah melaksana pelbagai program di peringkat akar umbi.

Menurutnya, matlamat pelaksanaan program-program itu untuk membantu kerajaan melalui jabatan dan agensi-agensinya membantu permasalahan rakyat termasuk bersama-sama membendung kegiatan negatif dalam komuniti.

Katanya, belandaskan Akta Rukun Tetangga 2012, RT yang ditubuhkan Ogos 1975 akan melaksanakan aktiviti atau perkhidmatan untuk tujuan memupuk, meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, kesejahteraan dan kualiti hidup dalam kalangan masyarakat.

"RT ini sebuah pertubuhan terbesar di negara ini yang melaksanakan peranan mereka tanpa dibayar gaji atau elaun.

"KRT melaksanakan pelbagai aktiviti yang bertujuan memupuk, meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, kesejahteraan dan kualiti hidup di dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Rukun Tetangga Daerah Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, di sini pada Ahad.

Menurut Delin, RT di Lahad Datu mempunyai pencapaian baik dengan memainkan peranan tersendiri khususnya menangani isu keselamatan.

Katanya, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan menjadi 'mata dan telinga' agensi-agensi keselamatan mendorong pada suksesnya proses pemulihan setelah Lahad Datu melalui fasa sukar tragedi pencerobohan militan Sulu di Tanduo.

Justeru, Delin menyeru agar 49 KRT di Lahad Datu terus fokus pada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan daerah ini aman sejahtera dan membangun demi masa depan yang sejahtera.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Kusen Hussen, Pegawai Perpaduan Daerah Lahad Datu Jammaluddin Abd Rahman, Pegawai Daerah Dr Mohd Ayub Yaakub, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Mohd Kusen yang mewakili menterinya merangkap Ahli Parlimen Silam Datuk Mohamaddin Ketapi, disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan dan anugerah RT, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Tabika Perpaduan.

Anugerah utama KRT Cemerlang dimenangi KRT Kampung (Kg) Long Danau, SRS Cemerlang Kg Lamak Jalan Silam dan Keceriaan Lima Bintang Kelas Tabika Perpaduan Taman Aman Jaya.

  • oleh
  • Advertisement