Anda di sini

Dua tekong, lima awak-awak ditahan APMM

Advertisement
SALAH sebuah bot yang ditahan.
SALAH sebuah bot yang ditahan.

LAHAD DATU: Dua bot nelayan bersama dua tekong dan lima awak-awak tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu ketika sedang menangkap ikan di perairan Telukan, dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian berasingan kira-kira jam 6 petang dan 10 malam itu, kedua-dua bot terbabit disyaki melanggar syarat lesen bot mengikut Peraturan-Peraturan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Timbalan Pengarah Operasi Leftenan Muhamad Zarif Mat Yunus dalam kenyataannya berkata semasa pemeriksaan, tekong-tekong bot dan awak-awak telah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Namun begitu, katanya, lesen bot yang ditunjukkan telah tamat tempoh dan mereka diarahkan untuk ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan JPDS dan jika sabit kesalahan pemilik bot boleh dikenakan kompaun atau denda maksima RM1,000.

Muhamad Zarif berkata, tangkapan itu merupakan sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan ke atas pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan JPDS dan Akta Perikanan 1985 di laut.

Beliau turut menegaskan APMM akan terus menggandakan usaha bagi mencegah sebarang kejadian jenayah di laut.

APMM akan sedaya upaya mengekang aktiviti pencerobohan bot nelayan asing terutama di perairan Sabah untuk kepentingan komuniti Maritim setempat.

  • oleh
  • Advertisement