Anda di sini

Sarawak hormati keputusan IPC, walaupun sedih - Abdul Karim

Advertisement
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

KUCHING: Sarawak menghormati keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 meskipun bersedih dengan tindakan diambil badan antarabangsa itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak dan Kuching menghormati keputusan IPC itu yang dibuat berikutan keputusan Malaysia melarang penyertaan dan kemasukan atlet Israel ke negara ini.

"IPC pada 27 Januari 2019 ,iaitu  semalam di London telah mengambil keputusan membatalkan hak penganjuran Kuching, Sarawak, Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan bermula pada 29 Julai hingga 4 Ogos 2019.

"Walaupun kita sedih dengan keputusan ini, kita menerimanya dengan hati terbuka...Negeri Sarawak dan Bandar raya Kuching menghormati keputusan ini yang dibuat ekoran larangan Malaysia ke atas atlet Israel menyertai dan memasuki negara ini.

"Ini adalah Dasar Luar Negara Malaysia, Sarawak sebagai salah satu negeri dalam Malaysia perlu menghormatinya," ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Abdul Karim berkata setakat ini 64 negara telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu, melibatkan 1,678 atlet dan pegawai.

"Saya tahu penerbangan dan tempat penginapan telah ditempah dan banyak usaha telah dilakukan bagi memastikan kejohanan renang paralimpik antarabangsa ini dilangsungkan dengan jayanya," ujarnya.

Sementara itu Presiden Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sarawak, Ibrahim Nordin berkata beliau masih meneliti kerugian yang dialami hotel-hotel di bandaraya ini disebabkan pembatalan tempahan bilik  ekoran pembatalan kejohanan itu.

Menurutnya , berdasarkan laporan tiga hotel yang dipilih secara rawak, mencadangkan kira-kira 2,600 malam sudah 'ditempah'.

"Saya juga telah diberitahu oleh beberapa hotel lain yang telah ditempah. Kami bakal berdepan penurunan perniagaan sebanyak empat peratus berbanding tahun lepas (disebabkan pembatalan kejohanan ini).

"Bagaimanapun buat masa ini, jumlah kerugian sebenar dihadapi operator-operator hotel di sini belum dapat dimaklumkan ketika ini," ujarnya.

Semalam IPC menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman web rasminya, www.paralymic.org berkata keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa itu di London setelah Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang dari Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.

Ia termasuk pematuhan sepenuhnya protokol IPC berkaitan lagu kebangsaan serta bendera dan penyediaan visa yang berkaitan.

"Pergerakan Paralimpik telah dan sentiasa didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan dan bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terlibat dalam perkara ini. IPC akan mengambil keputusan yang sama jika ia menghadapi situasi yang sama walaupun melibatkan negara yang berbeza," menurut kenyataan itu.

Presiden IPC Andrew Parsons berkata Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

"Apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu atas alasan politik, kami tidak mempunyai pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu. Tidak kira negara yang terlibat dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan yang sama jika berdepan situasi serupa melibatkan negara berbeza.

"Pada September 2017 semasa IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia (NPC Malaysia) untuk menjadi tuan rumah acara itu, kami mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.

"Bagaimanapun, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baharu mempunyai idea berbeza. Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement