Anda di sini

Pertikaian kawasan sarang burung di Gua Niah

Advertisement
Gua Niah terkenal dengan tuaian sarang burungnya. - Gambar hiasan

MIRI: Lima pemungut sarang burung di Gua Niah di sini, berdepan detik cemas apabila didatang sekumpulan 12 hingga 20 lelaki bersenjatakan kayu terdiri daripada warga tempatan dan asing, malam kelmarin (Sabtu).

Menurut salah seorang pemungut yang bekerja dengan seorang pengumpul serta penjual sarang burung berlesen, mereka sedang melakukan rutin seperti biasa, iaitu tiga orang berada di bawah memungut manakala dua lagi memanjat ke atas untuk mengambil sarang burung, apabila kumpulan lelaki tersebut masuk ke dalam gua dan mengepung mereka, sekitar jam 8 malam.

“Dalam keadaan yang gelap di dalam gua tersebut, saya rasa tidak kurang daripada 12 orang yang mengelilingi kami, berdasarkan lampu suluh dan ia tidak termasuk beberapa orang lagi yang tidak begitu kelihatan dengan jelas kerana gelap dan bersembunyi di sebalik dinding gua,” jelas salah seorang pekerja berkenaan ketika ditemui Utusan Borneo di Balai Polis Miri di sini, petang semalam.

Beberapa lelaki dalam kumpulan berkenaan yang didakwa membawa kayu  katanya, telah mengambil kesemua sarang burung yang telah dikutip mereka sejak mula bekerja jam 2 petang itu.

“Mereka mengambil kesemua sarang burung yang dikutip dan kami anggarkan lebih RM30,000 nilainya,” ujarnya sambil menambah, mereka bertiga tidak dapat berbuat apa-apa hanya memerhatikan sahaja kerana bimbang keselamatan, tambahan jumlah mereka yang ramai.

Salah seorang rakan pekerjanya hampir tercedera apabila cuba dipukul dengan kayu oleh salah seorang lelaki tersebut, bagaimapun dia berjaya mengelak.

Dua lagi pekerja tersebut yang masih berada di siling gua, tidak berani turun, walaupun dipanggil oleh beberapa orang terbabit, sebaliknya terus bertahan di atas sana.

“Dengan keadaan hujan lebat malam tadi, mereka mengambil masa sejam lebih berada dalam gua ini sebelum beredar dengan membawa semua hasil sarang burung tersebut,” katanya.

Kelima-lima pemungut sarang burung yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 55 tahun itu, kemudian memaklumkan kepada majikan mereka.

Majikannya, penduduk tempatan dan berusia 61 tahun berkata, daripada apa yang dimaklumkan oleh pekerjanya, beliau percaya ia didalangi orang tempatan, namun turut mempergunakan warga asing bersama-sama beberapa penduduk tempatan untuk mengambil hasil sarang burung mereka.   

Beliau bersama empat daripada pekerjanya itu, kemudian pergi ke Balai Polis Pusat Miri di sini, pada jam 1.30 petang semalam untuk membuat laporan polis.

Menurut pemilik, kejadian seperti itu merupakan yang pertama seumpamanya pernah berlaku di Gua Niah yang terkenal dengan tuaian sarang burungnya.

“Saya merupakan generasi ketiga yang mewarisi kawasan sarang burung (yang sudah disempadankan) dan mempunyai lesen memungut serta menjual yang sah daripada Jabatan Hutan. Ini merupakan kes yang pertama pernah berlaku di gua ini,” katanya.

Sarang burung Gua Niah adalah antara yang berkualiti dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran sarang burung.

Harga sarang burung yang belum diproses bernilai RM2,000 hingga RM2,500 sekilogram manakala bagi sudah diproses pula, berharga RM7,000 hingga RM8,000 sekilogram.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Lim Meng Seah, ketika mengesahkan laporan yang memberitahu, isu tersebut timbul disebabkan pertikaian hak kawasan dalam gua.

“Ia bukan kes samun tetapi lebih menjurus kepada pertikaian hak kawasan (memungut sarang) burung di dalam gua berkenaan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, malam tadi.

  • oleh
  • Advertisement