Anda di sini

Pembalakan di Tatalaan: Penduduk mohon campur tangan KM

Advertisement
Penduduk yang juga benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 dalam demonstrasi aman merayu campur tangan Ketua Menteri pada Sabtu.
Penduduk yang juga benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 dalam demonstrasi aman merayu campur tangan Ketua Menteri pada Sabtu.

NABAWAN: Lebih kurang 250 penduduk dari Mukim Tatalaan merayu agar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal campur tangan bagi menghentikan aktiviti pembalakan dalam kawasan Geran Komunal Tatalaan 2 yang berkeluasan 9,000 ekar, di sini.

Penduduk yang terdiri daripada ketua keluarga benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 membuat rayuan itu dalam satu demonstrasi aman pada Sabtu.

Mereka mendakwa sebuah syarikat telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan bulan lalu untuk membalak dan mengeluarkan kayu dari kawasan Geran Komunal Tatalaan 2.

Geran Komunal Tatalaan 2 diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada April tahun lalu.

Mereka turut mendakwa syarikat terbabit adalah kroni bekas Ketua Menteri Sabah, kerajaan lalu.

“Kami terpaksa merayu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk campur tangan dalam hal ini agar kelulusan pembalakan itu dibatalkan dengan segera kerana kami tidak percaya kepada syarikat terbabit.

“Kami mensyaki mereka hanya berminat terhadap kayu balak dan tidak berminat bekerjasama dengan penduduk untuk memajukan tanah berkenaan,” kata jurucakap penduduk, Agnes Andrew.

Beliau yang juga salah seorang daripada 400 benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 berkata mereka juga memohon supaya siasatan dapat dijalankan bagaimana pengusaha balak yang sama diberi kelulusan bagi kawasan balak yang begitu besar di Nabawan oleh pemegang amanah geran komunal iaitu Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur.

“Kami difahamkan bahawa pengusaha balak itu telah mendapat kelulusan untuk pembalakan di tiga kawasan geran komunal iaitu Atulai (10,773 ekar), Sabenait (6,301 ekar) dan Longongon (8,000 ekar) di sini semasa era BN tetapi tidak satu pun kawasan itu dapat dimajukan untuk penduduk setakat ini,” katanya.

Agnes berkata mereka turut memohon kepada Ketua Menteri supaya siasatan dapat dijalankan bagaimana kelulusan boleh dikeluarkan dengan begitu cepat walaupun terdapat bantahan daripada benefisiari serta tanpa ada Laporan Kajian Alam Sekitar (EIA).

“Kami risau syarikat pembalakan itu akan merosakkan kawasan tadahan air dan kawasan hutan yang perlu dikekalkan untuk tujuan eko perlancongan.

“Kami mengambil keputusan membuat rayuan kepada Ketua Menteri sebagai jalan akhir sebelum kawasan hutan di sini rosak,” katanya.

Advertisement