Anda di sini

Kes jenayah berat bersilih ganti libat warga asing membimbangkan

Advertisement
FELIX
FELIX

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Upko memandang serius beberapa siri kes jenayah berat kebelakangan ini melibatkan warga asing di Sabah.

Ketuanya Felix Joseph Saang berkata, Pemuda Upko mengikuti perkembangan itu dengan dekat dan merasakan ia amat membimbangkan.

"Kes jenayah bersilih ganti dan kita baru berada dalam bulan pertama tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, antara kes yang menggemparkan ialah cubaan rompakan kedai emas menggunakan bahan letupan di Segama, di sini, kanak-kanak dijadikan tebusan di Telipok Ria dan selepas itu seorang pengusaha homestay pula ditetak di Tamparuli.

"Bagaimanapun, Pemuda Upko amat berterima kepada pihak polis yang cekap dalam penyiasatan kes-kes terbabit.

"Apa yang Pemuda Upko risaukan ialah hampir kesemua jenayah ini membabitkan warga asing," katanya sambil menambah, kehadiran mereka dalam negara ini harus dibendung.

"Ia adalah satu rahsia yang terbuka di mana kebanyakan mereka telah mendapat dokumen pengenalan diri Malaysia melalui pintu belakang," katanya.

Beliau mengimbas kembali kata-kata seorang mantan Pesuruhjaya Polis Sabah bahawa pendatang tanpa izin adalah punca kepada segala masalah di Sabah.

Oleh itu, Felix berkata ia memperkuatkan cadangan Upko agar semua kad pengenalan yang dikeluarkan di Sabah ditarik balik untuk didaftarkan semula.

"Dengan cara ini, pihak berkuasa boleh mengenalpasti kesahihan pemegang dokumen berkenaan. Ini adalah sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi.

"Penarikan balik kad pengenalan Malaysia boleh memastikan integriti dokumen pengenalan diri itu. Mana-mana yang meragukan pasti boleh dikesan dan diambil tindakan," katanya.

Menurutnya, Pemuda Upko juga faham bahawa masalah yang telah melanda Sabah berdekad lamanya tidak akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

"Namun kita merasakan perlu ada langkah drastik dan penyelesaian yang meyakinkan daripada pihak Kerajaan.

"Apa yang penting ialah penyelesaian jangka masa panjang, jikalau tidak kita akan terus seperti telur di hujung tanduk," katanya.

Advertisement