Anda di sini

Kawasan panas tumpuan Ops Selamat 14

Advertisement
OMAR (dua dari kanan) menyerahkan topi keledar kepada penunggang motosikal sempena pelancaran Ops Selamat 14. - Gambar oleh JAMES TSEU
OMAR (dua dari kanan) menyerahkan topi keledar kepada penunggang motosikal sempena pelancaran Ops Selamat 14. - Gambar oleh JAMES TSEU

KOTA KINABALU: Ops Selamat 14 di negeri ini tumpu penguatkuasaan di kawasan panas (hotspot) melalui konsep ronda dan statik di setiap kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, sebanyak 30 kawasan panas dikenal pasti yang sering berlaku kemalangan membabitkan beberapa daerah seluruh Sabah.

Katanya, ia termasuklah laluan di daerah Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tuaran, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

"Konsep ronda dan statik ini melibatkan pendekatan menggunakan kanopi sebagai pusat sehenti yang menempatkan petugas polis trafik dan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Orang awam juga boleh membuat laporan berhubung apa sahaja kesalahan jenayah atau aduan di pusat sehenti ini sepanjang Ops Selamat dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Pelancaran Ops Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di sini pada Isnin.

Omar berkata, berdasarkan statistik, jumlah kemalangan di Sabah menunjukkan peningkatan bagi Ops Selamat 12 2018 iaitu sebanyak 721 kes berbanding 634 kes bagi Ops Selamat 10 2017.

Bagaimanapun katanya, kadar kemalangan maut menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 13 kes bagi Ops Selamat 12 2018 berbanding 18 kes bagi Ops Selamat 10 2017.

"Kemalangan langgar belakang masih mendominasi punca kemalangan dengan jumlah sebanyak 248 kes diikuti kes langgar tepi sebanyak 168 kes dan kemalangan terbabab yang menyumbang sebanyak 168 kes.

"Ops Selamat 14 menetapkan motto Rumah Selamat, Sampai ke Destinasi dan diharap kadar kemalangan serta jenayah sepanjang musim perayaan dapat diturunkan.

"Dalam pada itu, Ops Selamat ini juga menekankan keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari semasa perayaan," jelasnya.

Selain itu, pihaknya juga meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan perairan menerusi Pasukan Polis Marin (PPM).

Beliau berkata, bot dan feri akan diperiksa bagi memastikan para pengusaha yang terlibat mematuhi setiap peraturan serta arahan yang ditetapkan.

  • oleh
  • Advertisement