Anda di sini

Kaum Cina Hainan di Kemaman kekal budaya dan tradisi nenek moyang

Advertisement
 Perkampungan Cina Hainan terbesar di Malaysia yang terletak tujuh KM dari pekan Kemasik, Terengganu telah wujud lebih 110 tahun lalu. — Gambar Bernama
BERSEJARAH: Perkampungan Cina Hainan terbesar di Malaysia yang terletak tujuh KM dari pekan Kemasik, Terengganu telah wujud lebih 110 tahun lalu. — Gambar Bernama

JUMLAH mereka tidak ramai, hanya kira-kira 500 orang. Walaupun hidup dikelilingi masyarakat Melayu, namun budaya dan tradisi kaum Cina Hainan tetap dikekalkan sehingga kini.

Itu keunikan perkampungan Cina Hainan terbesar di Malaysia yang terletak di Kampung Baru Air Jernih, tujuh kilometer dari pekan Kemasik, Terengganu yang telah wujud lebih 110 tahun lalu.

Pengunjung yang datang ke perkampungan itu pasti kagum dengan persekitaran rumah kedai dua tingkat diperbuat daripada kayu, persis berada di sebuah pekan kecil di negara China.

Ketibaan wartawan dan jurugambar Bernama disambut mesra oleh penduduk kampung itu yang sangat fasih berbahasa Melayu dalam dialek Terengganu. Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina juga semakin hangat dirasakan apabila penduduk bergotong-royong memasang puluhan tanglung di sepanjang jalan masuk utama kampung itu.

Kebanyakan penduduk di kampung itu adalah generasi ketiga dan keempat dari Kepulauan Hainan, sebuah wilayah yang terletak di Selatan China setelah nenek moyang mereka datang belayar mencari penempatan baharu di Terengganu.

 Perkampungan Cina Hainan terbesar di Malaysia yang terletak tujuh KM dari pekan Kemasik, Terengganu telah wujud lebih 110 tahun lalu. — Gambar Bernama
UNIK: Perkampungan Cina Hainan terbesar di Malaysia yang terletak tujuh KM dari pekan Kemasik, Terengganu telah wujud lebih 110 tahun lalu. — Gambar Bernama

Penduduk tertua di kampung itu, Kong Hin Eng, 89, berkata ayahnya datang berhijrah ke Terengganu ketika berusia 16 tahun dan kegiatan ekonomi utama keluarga ayahnya ketika itu ialah melalui tanaman kelapa sawit dan getah.

“Tak lama selepas itu, ayah pulang ke Hainan untuk berkahwin dengan emak saya di sana dan kembali semula untuk menetap di Air Jernih. Memang kawasan ini meriah pada waktu itu dengan kepadatan penduduk Hainan hampir 6,000 orang.

“Seiring perubahan masa, orang Cina Hainan telah banyak berhijrah keluar Terengganu untuk mencari pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih baik antaranya ke Klang, Selangor; Tangkak di Johor dan Port Dickson di Negeri Sembilan,” katanya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat.

Keunikan rumah kedai kayu dua tingkat itu yang masih mengekalkan binaan sejak awal tahun 1900 menjadikan Kampung Baru Air Jernih sebagai lokasi kegemaran jurugambar untuk merakamkan pemandangan indah yang jarang ada di tempat lain.

Dahulu, kampung itu adalah pekan utama orang Cina Hainan di Kemaman yang menempatkan pelbagai kemudahan untuk mereka sebagai pusat aktiviti ekonomi, sosial dan pendidikan.

 Walaupun hidup dikelilingi masyarakat Melayu, namun budaya dan tradisi bangsa Cina Hainan tetap dikekalkan sehingga kini. — Gambar Bernama
DIPERTAHAN: Walaupun hidup dikelilingi masyarakat Melayu, namun budaya dan tradisi bangsa Cina Hainan tetap dikekalkan sehingga kini. — Gambar Bernama

Seiring perubahan masa dan pembangunan lebih banyak pekan baharu di pesisir pantai seperti Kemasik dan Kerteh, golongan muda mula berhijrah ke kawasan pekan dan bandar. Ketika ini kebanyakan mereka yang masih kekal tinggal di situ hanyalah golongan warga emas, namun perkampungan kembali meriah setiap kali musim cuti persekolahan dan perayaan.

Bagi seorang lagi warga emas  Bo Chia Weng, 78, beliau sangat berbangga masih dapat mengekalkan budaya dan tradisi warisan nenek moyang mereka seperti makanan, ritual agama dan percakapan bahasa Cina Hainan di kampung itu.

“Dalam masa sama, saya juga menggemari nasi dagang, ketupat pulut, rendang, tapai, keropok lekor dan banyak lagi makanan tradisi Terengganu kerana mempunyai ramai kenalan Melayu di sini.

“Kami sama-sama meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri. Bertukar-tukar hidangan dan saling kunjung-mengunjungi. Itu amalan tradisi orang Cina Hainan dan orang Melayu di sini,” katanya yang merupakan generasi kedua dari Kepulauan Hainan.

Bapa kepada tujuh anak itu masih mempunyai saudara-mara di Kepulauan Hainan dan masih mengekalkan hubungan erat dengan mereka di mana kali terakhir beliau berkunjung ke Kepulauan Hainan ialah pada 2005.

Bagi Wan Eei Ton, 42, beliau bersyukur dapat menjalani kehidupan yang selesa hasil nikmat perpaduan yang ada di negara ini dan berharap komuniti Cina Hainan akan terus mengekalkan budaya dan tradisi mereka untuk tatapan generasi akan datang.

 Warga emas berketurunan Cina Hainan, Kong Hin Eng, 89, (kanan) bersama rakannya Bo Chia Weng, 78, berjalan melintasi deretan rumah kedai yang masih beroperasi di Kampung Baru Ayer Jerneh, Kemasik di Kemaman, semalam. — Gambar Bernama
SANTAI: Warga emas berketurunan Cina Hainan, Kong Hin Eng, 89, (kanan) bersama rakannya Bo Chia Weng, 78, berjalan melintasi deretan rumah kedai yang masih beroperasi di Kampung Baru Ayer Jerneh, Kemasik di Kemaman, semalam. — Gambar Bernama

“Setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina, kami juga ada persembahan wayang kulit di kampung ini cuma kelainannya, ia adalah opera Cina. Penduduk kampung juga akan beramai-ramai keluar ke Pantai Kemasik untuk menyambut Pesta Perahu Naga pada bulan kelima kalendar Cina iaitu simbolik memperingati kebaikan Qu Yuan, seorang keturunan bangsawan pada Zaman Negeri-Negeri Berperang.

“Setiap kali raya, memang kampung ini akan lebih meriah dengan kepulangan anak cucu generasi keempat dan kelima dari perantauan untuk berkumpul bersama keluarga dan meraikan pelbagai aktiviti tradisi bersama-sama,” katanya.

Ditanya apakah harapannya untuk kampung berusia lebih 110 tahun itu, beliau berkata kebanyakan penduduk berharap tradisi dan keaslian struktur bangunan rumah kedai dua tingkat itu akan terus dikekalkan dan dibaik pulih agar kekal terpelihara sebagai sejarah berharga negara.

“Selain keunikan kampung ini, antara yang membanggakan kami juga apabila resipi istimewa tradisional kami seperti Nasi Ayam Hainan dan Mi Hailam turut digemari rakyat Malaysia pelbagai kaum.

“Ramai juga anak jati kampung ini berkhidmat sebagai profesional dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kesenian dan perniagaan, kami berharap agar orang Cina Hainan terus melakar lebih banyak kejayaan yang boleh mengharumkan nama Malaysia pada masa akan datang,” katanya. — Bernama

Advertisement