Anda di sini

Kabinet Negeri bersetuju kekalkan operasi Kolej Kejururawatan

Advertisement
VINCENT (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan dua mesin hemodialisis bernilai RM90,000 kepada Dr Aminuddin sambil diperhatikan oleh Stephen dan John.
VINCENT (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan dua mesin hemodialisis bernilai RM90,000 kepada Dr Aminuddin sambil diperhatikan oleh Stephen dan John.

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata Kabinet Negeri bersetuju untuk mengekalkan operasi Kolej Kejururawatan Sandakan di bawah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Sebelum ini, kolej berkenaan dicadang untuk dipindahkan ke ILKKM Kota Kinabalu pada tahun 2021.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Kabinet Negeri pada 19 Januari lalu yang bersetuju untuk mengekalkan operasi kolej itu yang mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.

"Saya telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Kesihatan dalan lawatannya ke Sabah baru-baru ini yang pada kita mungkin setuju untuk mengekalkan Kolej Kejururawatan Sandakan di sini," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis kepada Hospital Duchess of Kent (HDOK) di perkarangan Unit Hemodialisis HDOK hari ini.

Pada majlis itu, Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) telah menyumbang dua mesin hemodialisis yang bernilai RM90,000 kepada Unit Hemodialisis HDOK.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPS Datuk Vincent Pung kepada wakil Pengarah HDOK Dr Aminuddin Baki Mohamad. Hadir sama, Pengerusi PPS Dato' John Khoo.

Dalam pada itu, Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata beliau akan memohon peruntukan sebanyak RM8 juta bagi mengindahkan persekitaran HDOK termasuk menceriakan semula blok lama yang usang.

Beliau juga akan mempertimbang untuk menggunakan dana wakil rakyat bagi menambah baik kemudahan Unit Hemodialisis serta membesarkan bangunan di unit itu.

"Ketika ini, hospital kerajaan seluruh Sabah mempunyai sejumlah 342 mesin hemodialisis dan HDOK mempunyai 27 mesin manakala, seramai 1,481 pesakit buah pinggang menerima rawatan hemodialisis di negeri ini dengan 198 orang dalam senarai menunggu.

"Sementara di Sandakan, bilangan pesakit yang menerima rawatan hemodialisis adalah seramai 125 orang dengan 10 orang dalam senarai menunggu," jelasnya.

Dalam mengawal dan mengurangkan bilangan pesakit buah pinggang di negara ini, Stephen berkata kesedaran mengenai bahaya penyakit buah pinggang perlu dipertingkatkan dalam kalangan orang ramai.

Oleh itu katanya, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah sentiasa bersedia untuk membantu orang ramai mengatasi masalah penyakit yang dihidapi termasuk menerusi program-program turun padang menemui golongan sasar.

"Pemeriksaan kesihatan yang diadakan oleh agensi kerajaan dan sektor swasta secara percuma merupakan peluang terbaik untuk orang ramai mengetahui tahap kesihatan masing-masing dan membolehkan mereka mengambil langkah pencegahan seawal mungkin," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement