Anda di sini

Colman, Bale dahului senarai bakat British dalam perlumbaan Oscar

Advertisement
OLIVIA COLMAN  & EMMA STONE
OLIVIA COLMAN & EMMA STONE

PELAKON Olivia Colman dan Christian Bale mendahului cabaran British dalam pertandingan untuk anugerah Oscar pada tahun ini, dengan beberapa orang berbakat dari UK yang dicalonkan untuk kerja mereka di hadapan dan di belakang kamera dalam penghormatan tertinggi industri perfileman.

Bintang British akan bersaing untuk hadiah dalam keempat-empat kategori lakonan di majlis anugerah yang gilang-gemilang pada 24 Februari, yang pada masa lalu menyaksikan filem UK seperti ‘The King’s Speech’ menang.

Colman dicalonkan untuk lakonannya sebagai Ratu Anne yang uzur dan panas baran di Britain pada abad ke-18 dalam ‘The Favourite’ manakala Bale diiktiraf bagi komedi politik ‘Vice’, di mana dia membawa watak bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Dick Cheney.

Kedua-dua pelakon itu sudah memenangi anugerah Golden Globe untuk watak masing-masing dan dicalonkan di Screen Actors Guild Awards dan BAFTA di Britain.

Rachel Weisz, yang berlakon bersama Colman, dicalonkan untuk anugerah Pelakon Wanita dalam Watak Sokongan manakala Richard E. Grant dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki dalam Watak Sokongan bagi ‘Can You Ever Forgive Me?’.

“Bakat British sentiasa berjaya di Anugerah Oscar, itu tidak dipertikaikan,” kata Editor Antarabangsa Skrin Matt Mueller kepada Reuters.

“Ia sentiasa mempa-merkan prestasi yang baik … ‘The Favourite’ ternyata satu kisah kejayaan yang amat besar.”

Komedi gelap itu, satu penerbitan bersama Irish, British dan AS, memperolehi 10 pencalonan, menjadikannya dan filem hitam putih Mexico ‘Roma’ filem-filem paling banyak dicalonkan di Anugerah Oscar pada tahun ini.

 ‘Bohemian Rhapsody’, sebuah muzikal British-Amerika tentang kumpulan rock Queen, turut dicalonkan.
TURUT TERCALON: ‘Bohemian Rhapsody’, sebuah muzikal British-Amerika tentang kumpulan rock Queen, turut dicalonkan.

‘Bohemian Rhapsody’, sebuah muzikal British-Amerika tentang kumpulan rock Queen, turut dicalonkan.

Pereka kostum British Sandy Powell menerima dua pencalonan bagi ciptaannya dalam ‘The Favourite’ dan ‘Mary Poppins Returns’ terbitan Disney.

Di antara calon-calon lain bagi Rekaan Kostum adalah Alexandra Byrne dari Britain untuk drama sejarah ‘Mary Qeen of Scots’, sebuah filem yang turut menyaksikan artis mekap British Jenny Shircore dicalonkan di samping rakan-rakan lain.

‘The Favourite’ juga diktirf bagi Lakon Layar Asal, dan Deborah Davis dicalonkan di samping Tony McNamara dari Australia.

Filem British ‘Black Sheep’ dimasukkan ke dalam kategori Dokumentari Pendek.

Di bahagian teknikal, Nathan Crowley dari Britain dicalonkan untuk Rekaan Penerbitan dalam drama perlumbaan angkasa ‘First Man’.

‘Shallow’ dari ‘A Star Is Born’, satu lagu yang ditulis bersama oleh penerbit muzik British, Mark Ronson, bertanding untuk anugerah Lagu Asal Terbaik.

“Tahniah kepada semua calon Oscar,” tweet British Academy of Film and Television Arts (BAFTA).

“Sekali lagi terdapat barisan bakat British yang kuat dicalonkan untuk anugerah, sesuatu yang HEBAT!” — Reuters

Advertisement