Anda di sini

Peniaga mohon kerajaan pertimbang larangan merokok di premis makanan

Advertisement
 Norosmina bersama anak perempuannya.
SETUJU: Norosmina bersama anak perempuannya.
 Mohd Amizan memperkenalkan salah satu makanan istimewa iaitu Sup Tulang Hitam di premis makanannya, Cafe Nur yang terletak di Jalan Awang Wal/ Jalan Astana, Kuching.
SALING MENGHORMATI: Mohd Amizan memperkenalkan salah satu makanan istimewa iaitu Sup Tulang Hitam di premis makanannya, Cafe Nur yang terletak di Jalan Awang Wal/ Jalan Astana, Kuching.
 Norashikin bersama anak bongsu lelakinya semasa menjalankan perniagaan food truck di bawah Jejambat Jalan Satok.
TIDAK PASTI: Norashikin bersama anak bongsu lelakinya semasa menjalankan perniagaan food truck di bawah Jejambat Jalan Satok.

SEGELINTIR  peniaga di bandar raya Kuching memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan di negeri ini yang akan bermula pada 1 Mac depan.

Menurut seorang pengusaha sebuah premis makanan di kawasan Metrocity Matang, Norosmina Masran, beliau bersetuju dengan tindakan larangan merokok itu namun untuk membina sendiri kemudahan ruang merokok dilihat membebankan peniaga.

“Kami akur dengan tindakan melarang merokok di tempat awam termasuk premis makanan, bagaimanapun untuk menyediakan sendiri  kemudahan ruang merokok bagi saya amat membebankan meskipun ia terpulang kepada pengusaha sendiri untuk membinanya.

“Ini kerana untuk membina ruang khas merokok di premis terbuka membabitkan kos yang tinggi,” kata beliau sambil menambah baginya alternatif itu tidak banyak membantu orang ramai tidak merokok di dalam premis makanan mahupun restoran ataupun kafe.

“Jika boleh, saya harap pihak-pihak tertentu atau kerajaan dapat membantu menyalurkan peruntukan untuk menyediakan ruang tempat merokok di kawasan premis makanan,” katanya.

Norosmina turut berharap agar kerajaan mempertimbangkan semula arahan larangan merokok itu dengan mengambil kira situasi pro dan kontra kepada pelanggan merokok, pelanggan tidak merokok dan juga pemilik premis makanan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo di Kuching kelmarin, yang membuat tinjauan mengenai larangan merokok di semua premis makanan di Sarawak berkuatkuasa 1 Mac depan.

Bagi seorang lagi peniaga makanan, Mohd Amizan Jamal berkata, larangan itu sudah sepatutnya tidak dikuatkuasakan di semua premis perniagaan terutama di premis terbuka.

Ini kerana selain menjejaskan pendapatan peniaga katanya, larangan itu dilihat tidak adil kepada golongan peniaga.

“Sebagai contoh, 70 peratus daripada pelanggan saya terdiri daripada perokok dan dengan melaksanakan arahan larangan ini, sudah tentu ia akan menjejaskan perniagaan. Bahkan saya percaya peniaga lain turut mengalami hal yang sama sekiranya larangan ini mula dikuatkuasakan nanti ,” katanya.

Meskipun mengakui merokok boleh memudaratkan kesihatan orang ramai, namun kata Amizan, kebanyakan pelanggannya tetap menghormati  mereka (pelanggan) yang tidak merokok dengan menghisap rokok di luar atau di kaki lima premis makanannya.

“Malah saya juga mahu menasihatkan pelanggan yang tidak merokok supaya melakukan perkara sama iaitu jika melihat ada antara pelanggan lain merokok, janganlah duduk dekat dengan mereka.

“Kerana ini juga salah satu cara untuk mengelak mereka daripada terhidu asap rokok kalau dibandingkan dengan mengeluarkan arahan larangan merokok mahupun menyediakan tempat khas merokok di semua premis makanan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga trak makanan (food truck) yang dikenali dengan nama Empatujuh,  Norashikin Ramli berkata, beliau kurang jelas dan tertanya-tanya sama ada perniagaan sepertinya turut dikenakan larangan merokok itu

“Memandangkan lokasi perniagaan saya adalah di tempat yang terbuka dan kadang-kadang beroperasi dengan bergantung kepada lokasi acara pada majlis  tertentu, saya fikir ia tidak sepatutnya dikenakan tindakan sama seperti pemilik premis makanan di tempat tertutup.

“Bagaimanapun, sekiranya larangan itu turut diimplementasikan dengan perniagaan trak makanan seperti kami, saya akur dan menerimanya daripada sudut positif, “ kata Norashikin yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya sejak tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement