Anda di sini

FAS tidak dibiarkan ‘terkapai-kapai’

Advertisement
 Pemain pasukan Liga Premier Sarawak menggunakan jersi rasmi pasukan pada pelancaran di Kuching petang semalam.
SEDIA: Pemain pasukan Liga Premier Sarawak menggunakan jersi rasmi pasukan pada pelancaran di Kuching petang semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus membantu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam meringankan beban ditanggung badan induk bola sepak negeri itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri tidak membiarkan FAS ‘terkapai-kapai’ dalam mengurus pasukan bola sepak negeri ini menghadapi kejohanan peringkat kebangsaan (Liga Malaysia).

“Sudah menjadi tanggungawab kerajaan negeri memastikan setiap persatuan sukan dibantu terutamanya bola sepak merupakan sukan nombor satu di dunia termasuk di Sarawak,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jersi, Memperkenalkan Pemain dan Lagu Sarawak FA di sini semalam.

Menurutnya, bagi meringankan beban persatuan tersebut kerajaan negeri bersedia mempertimbang permohonan dana tambahan kepada FAS berjumlah RM4 juta pada tahun ini.

“Setiap tahun kita memberi geran kepada FAS sejumlah RM3.5 juta. Tetapi, FAS ada menulis kepada kita untuk ditambahkan, jadi saya sudah bawa ke atas dan tidak menjadi masalah,” jelasnya

Abdul Karim berkata, walaupun jumlah geran diterima FAS adalah terbesar berbanding persatuan sukan lain namun jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan yang diterima pasukan-pasukan dari negeri lain.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru badan-badan korporat di Sarawak untuk tampil menghulurkan sokongan kepada FAS.

Beliau juga berharap pasukan Liga Premier pada tahun ini dapat memperolehi keputusan lebih baik kerana hanya dengan prestasi yang terbaik dan konsisten mampu menarik peminat hadir di stadium untuk memberikan sokongan.

Menjelas lanjut, Abdul Karim berkata pada tahun ini perlawanan Liga Premier Sarawak dilangsungkan di Stadium Sarawak dengan harga tiket masih dikekalkan seperti tahun lalu.

Terdahulu, Presiden FAS Datuk Posa Majais dalam ucapannya berkata setiap tahun, FAS memerlukan dana sekurang-kurangnya RM12 juta untuk menampung kos pengurusan pasukan senior, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan futsal lelaki dan wanita.

Selain itu, dana besar juga diperlukan untuk menganjurkan kejohanan liga peringkat tempatan menjadi landasan penting mencungkil bakat-bakat berpotensi yang boleh diserapkan dalam pasukan Sarawak.

Beliau memberi contoh tahun lalu, FAS hanya memperolehi geran sejumlah RM6.7 juta hasil sumbangan kerajaan negeri, beberapa badan korporat dan swasta namun jumlah itu tidak mencukupi kerana kos diperlukan sekitar RM12 juta.

“Sehubungan itu, FAS menyeru sokongan kerajaan negeri, badan korporat mahupun swasta dalam bentuk kewangan atau kerjasama strategik membantu meringankan beban ditanggung persatuan setiap tahun,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja-penaja tahun ini kerana terus sudi memberi sokongan kepada FAS.

Pada majlis sama, FAS turut memperkenal lagu baharu pasukan Sarawak berjudul ‘Ohh Bujang Senang’ dan jersi rasmi pasukan.

Jersi pasukan tahun ini tampil dengan empat variasi warna iaitu merah dan biru untuk pemain manakala gabungan hitam/putih dan ungu untuk penjaga gol dengan rekaan melambangkan motif Sarawak.

Hadir sama Menteri Muda Belia Dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Perhubungan Korporat Sarawak Abdullah Saidol, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sarawak Zulhairy Zaidel, Pengarah Urusan Lea Holding (M) Sdn Bhd, Raymond Sim dan barisan exco FAS.

  • oleh
  • Advertisement