Anda di sini

‘Black Panther’ dahului barisan filem popular dalam merebut filem terbaik Oscar

Advertisement
__alt__

FILEM Marvel Studios ‘Black Panther’ mencipta sejarah Oscar baru-baru ini apabila ia menerima pencalonan pertama bagi filem terbaik untuk sebuah filem adiwira, selepas filem-filem blockbuster yang menyeronokkan penonton menyertai pertandingan yang baru-baru ini didominasi filem ‘art-house’.

Filem box office lain di antara lapan calon untuk hadiah utama dalam industri filem termasuk filem muzikal yang dibikin semula ‘A Star is Born’ dan biopik rock ‘Bohemian Rhapsody’.

Penyertaan filem popular tidak seperti beberapa tahun yang lalu apabila Academy of Motion Picture Arts and Sciences lebih suka kepada drama bebas dengan audiens kecil dan mengetepikan filem komersil yang berjaya seperti ‘Wonder Woman’.

Akademi itu cuba menangani isu tersebut pada Ogos dengan mencadangkan satu kategori baharu untuk filem popular.

Namun idea itu dibatalkan dengan cepat selepas kritikan bahawa ia akan mewujudkan sistem dua aras bagi filem-filem popular dan kurang beraliran utama.

Pengumuman pencalonan itu menunjukkan filem popular telah menembusi pertandingan filem terbaik. Filem yang dicalonkan mencerminkan “penyilangan kesenian dan perdagangan yang sempurna”, kata Paul Dergarabedian, penganalisis media kanan di firma ukuran Comscore.

“Akademi itu jelas memberi penghormatan kepada filem-filem blockbuster pada tahun ini,” katanya, “dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada seni pembikinan filem dan seterusnya mengiktiraf tahap bakat yang terlibat.”

Mengetengahkan filem yang dilihat dengan meluas dalam pertandingan dapat membantu meningkatkan penarafan bagi siaran Anugerah Oscar pada 24 Februari di saluran ABC milik Walt Disney Co.

Jumlah penonton untuk pertunjukan pada tahun lepas jatuh ke tahap terendah dalam sejarah, dan pengkritik berkata kumpulan calon yang jarang kelihatan mungkin satu faktor.

‘Black Panther’ merupakan filem paling untung pada 2018 di Amerika Syarikat dan Kanada, dan kedua tertinggi di seluruh dunia, dengan jualan tiket berjumlah AS$1.3 bilion.

Dikeluarkan oleh Marvel milik Disney, ia merupakan filem adiwira pertama yang memaparkan barisan majoriti pelakon berkulit hitam.

Filem itu dipuji kerana membawa maruah dan kecantikan Afrika ke filem skrin besar. Ia menerima tujuh pencalonan pada keseluruhannya.

Calon lain termasuk filem terbitan 21st Century Fox ‘Bohemian Rhapsody’ tentang mendiang penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mercury, yang mengaut AS$798 juta di box office global.

‘A Star is Born’ daripada Warner Bros milik AT&T Inc, yang turut dicalonkan, mengaut AS$409 juta.

Calon lain termasuk komedi sejarah British terbitan Fox ‘The Favourite’ yang mengaut AS$43 juta, dan satira politik ‘Vice’ dengan AS$39.5 juta.

Calon biasanya melihat peningkatan dalam jualan tiket selepas pencalonan Oscar diumumkan.

Ia tidak diketahui berapa ramai orang sudah melihat satu lagi calon filem terbaik terbitan Netflix Inc, iaitu drama bahasa Sepanyol ‘Roma’.

Netflix belum mengeluarkan data jualan tiket dari pawagam atau mendedahkan berapa ramai orang sudah menonton ‘Roma’ dalam servis striming itu. — Reuters

Advertisement