Anda di sini

Bebe Rexha hadapi masalah cari gaun pereka ke Anugerah Grammy

Advertisement
__alt__

SEORANG bintang pop Amerika yang dicalonkan untuk anugerah Artis Baharu Terbaik di Anugerah Grammy pada bulan depan berkata dia menghadapi masalah untuk mencari pakaian bagi majlis tersebut, selepas pereka berkata dia “terlalu besar”.

Bebe Rexha – seorang penyanyi yang turut dicalonkan bagi duet ‘country pop’ gemalai ‘Meant to Be’ – mengadu dalam media sosial baru-baru ini tentang pereka kerana enggan membuat gaun khas untuknya, yang mengetengahkan isu yang sentiasa menjadi masalah di atas permaidani merah.

“Saya menyuruh pasukan saya menghubungi ramai pereka,” kata artis berusia 29 tahun itu.

“Dan ramai daripada mereka tidak mahu menyediakan pakaian untuk saya kerana saya terlalu besar.”

“Jika saiz 6/8 terlalu besar, saya tidak tahu apa yang saya hendak beritahu anda. Jika begitu saya tidak mahu memakai pakaian anda,” kata Rexha.

“Anda menyatakan semua wanita di dunia dengan saiz 8 dan ke atas adalah tidak cantik dan mereka tidak dapat memakai gaun anda.”

Saiz 8 di Amerika bersamaan kira-kira 40 di Eropah dan 12 di Britain.

Selebriti termasuk penyanyi Adam Lambert dan model Tyra Banks menyuarakan sokongan mereka menerusi Twitter kepada Rexha, yang menyatakan “punggung saiz 8” yang dia miliki tetap akan menghadiri gala Anugerah Grammy pada 10 Februari.

Rexha tidak menyebut nama pereka yang menolaknya, tetapi rungutannya menggariskan cabaran yang kerap dihdapi artis wanita yang tidak muat ke dalam pakaian sampel, yang amnya terhad kepada saiz peragawati 0-4.

Beberapa pereka menjawab tulisan penyanyi itu dengan menawarkan bantuan.

Pereka berprofil tinggi Christian Siriano, yang menegaskan bahawa mereka pernah membuat pakaian untuk bintang yang agak berisi pada masa lalu, menulis dalam Twitter bahawa “kami pernah menyediakan pakaian untuk @BebeRexha beberapa kali dan ingin sekali melakukannya lagi!”

Dan pakar gaun makan malam Elizabeth Kennedy berkata, “Saya ingin sekali membuat gaun anda untuk Anugerah Grammy!”

“Saya juga saiz 8, dan ya, ia adalah saiz yang cantik.”

- Bukan saiz sampel -

Menyediakan pakaian untuk selebriti di atas permaidani merah menyediakan platform bagi pereka untuk mempromosikan kerja mereka dan gedung sering meminjamkan pakaian kepada bintang untuk acara senarai A – tetapi bebeerapa bintang mengakui membeli pakaian mereka sendiri dari kedai.

Bintang televisyen Megan Mullally, yang dijadual menjadi hos Screen Actors Guild Awards, menulis dalam Instagram pada bulan lepas: “Nampaknya saya akan membeli gaun saya dalam talian.”

“Walaupun terdapat peluang 100 peratus bahawa saya akan muncul di hadapan kamera, kerana SAYA MENJADI HOS,” katanya dan menambah “pereka tidak menghantar gaun kepada saya”.

“Oh, segalanya begitu glamor.”

Pada 2016, aktres Leslie Jones menarik perhatian kepada isu itu selepas menulis dalam Twitter bahawa dia tidak ada apa-apa untuk dipakai ke tayangan perdana ‘Ghostbusters’, filem yang dibintanginya, disebabkan oleh saiznya.

“Ia begitu lucu bagaimana tidak ada pereka yang mahu membantu saya dengan gaun tayangan perdana bagi sebuah filem,” tweet Jones.

“Hmmm itu akan berubah dan saya ingat segalanya.”

Siriano menyelamatkannya, dan mengenakan aktres yang tinggi menawan itu dengan gaun kolum merah tanpa bahu dengan belah setinggi paha.

“Ia tidak sepatutnya luar biasa untuk bekerja dengan orang yang cemerlang hanya kerana mereka bukan saiz sampel. Tahniah tidak wajar, perubahan adalah wajar,” tweet Siriano mengenai episod itu.

Pereka yang berpangkalan di New York itu kemudian berkata menyediakan gaun untuk Jones telah meransang jualan mereka.

“Kami telah menjual ratusan gaun merah itu,” kata Siriano kepada majalah People.

“Selebriti tertentu, apabila mereka memakai baju, orang serta-merta mahukannya.”

“Pertaruhan rambang kami ialah apabila kami menyediakan gaun untuk Leslie.”

Pereka Jepun yang berpangkalan di California, Tadashi Shoji, yang turut diminati aktres Octavia Spencer, juga sudah menjadikannya urusannya untuk menyediakan pakaian bagi pelbagai saiz badan.

Tekniknya termasuk hiasan tepi jahitan dan kain beralun untuk memenuhi permintaan semua orang dari saiz 0 yang genit hingga kepada 24 – apa yang dia sebut sebagai “saiz ratu”. — AFP

Advertisement