Anda di sini

Pelancaran UNIMASfm dan TV UNIMAS cipta sejarah tersendiri

Advertisement
 Dr Mohamad Kadim menandatangani plak pelancaran studio mini UNIMASfm di UNIMAS sambil disaksikan oleh para tetamu jemputan lain.
CIPTA SEJARAH: Dr Mohamad Kadim menandatangani plak pelancaran studio mini UNIMASfm di UNIMAS sambil disaksikan oleh para tetamu jemputan lain.

SEJARAH tercipta kelmarin apabila Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melancarkan UNIMASfm dan TV UNIMAS dalam dunia penyiaran di kampus itu di Kota Samarahan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Suaidi di Studio Mini, Bahagian Endowmen dan Wakaf.

UNIMASfm boleh dilayari di www.endowment.unimas.my dan radio kampus yang diinisiatif serta diusahakan oleh Bahagian Endowmen dan Wakaf ini akan menjadi medium komunikasi dalaman warga kampus sama ada pelajar atau staf dengan pihak luar.

Setakat ini lebih 20 rakan industri telah memberi sokongan dalam bentuk tajaan.

UNIMAS mengalu-alukan lebih banyak lagi syarikat korporat, agensi awam dan swasta, para alumni serta mana-mana individu yang sudi bekerjasama dan memberi sokongan kepada Radio dan TV UNIMAS sama ada dalam bentuk latihan, motivasi, perkongsian tip keusahawanan, informasi kerjaya dan tajaan.

Pelancaran UNIMASfm ini juga membuka peluang untuk mengasah bakat-bakat baharu dalam kalangan staf dan pelajar dalam dunia komunikasi penyiaran.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh pegawai pengurusan utama UNIMAS, para dekan dan pengarah UNIMAS.

DJ radio tempatan, Ardin Belarek turut hadir memberi sokongan kepada kesungguhan usaha murni UNIMAS ini.

Beliau telah berada di konti UNIMASfm untuk bersiaran secara langsung selaku DJ jemputan pada majlis pelancaran tersebut.

Pelbagai slot dan rancangan menarik telah disusun untuk siaran akan datang dan penglibatan lebih ramai pihak adalah amat diharapkan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Ketua Bahagian Endowmen dan Wakaf, UNIMAS di talian 082-581231 atau e-mel [email protected]

Advertisement