Anda di sini

Netflix dalam usaha dapatkan hadiah utama Oscar dengan ‘Roma’

Advertisement
 

PERKHIDMATAN penstriman terkemuka dunia, Netflix Inc menerima pencalonan pertamanya bagi anugerah Oscar untuk filem terbaik yang berprestij Selasa lepas bagi ‘Roma’, satu pencapaian yang akan diuji sama ada institusi perfileman di Hollywood bersedia ataupun tidak untuk menganugerahkan hadiah utamanya kepada servis striming.

‘Roma’ menerima 10 pencalonan Academy Awards pada keseluruhannya untuk mengikat ‘The Favourite’ sebagai filem dengan paling banyak pencalonan pada tahun ini.

‘Roma’, sebuah filem bahasa Sepanyol, menceritakan tentang kisah seorang pengurus rumah tangga dan keluarga yang diurusnya di Mexico pada zaman 1970an.

Filem itu dirakamkan dalam hitam putih, dan dinamakan sempena kawasan kejiranan di Kota Mexico di mana penulis, pengarah dan pakar sinematografi Alfonso Cuaron membesar.

Pakar anugerah menganggap ‘Roma’ sebagai calon utama untuk memenangi anugerah filem terbaik di majlis penganugerahan Oscar pada 24 Februari, tetapi mereka berkata ia ada halangan untuk diatasi.

Selepas mengganggu televisyen, Netflix telah menimbulkan kegelisahan dalam industri filem tradisional dengan menggalakkan orang untuk tidak pergi ke pawagam dan menonton filem di rumah.

Rangkaian pawagam utama enggan mempamerkan filem Netflix, dan beberapa pengarah terkemuka enggan membuat filem yang pada asasnya akan dilihat di atas skrin kecil.

Sebahagian daripada pengundi Oscar mungkin ragu-ragu untuk memberi penghormatan kepada Netflix, kata penulis kolum anugerah Hollywood Reporter, Scott Feinberg, tetapi dia percaya kumpulan itu semakin susut.

Ramai pelakon, penulis, penerbit dan lain-lain kini sudah bekerja dalam filem atau program Netflix TV, dan mereka gembira bahawa syarikat Silicon Valley itu mempunyai kemampuan kewangan dan kesediaan untuk membiayai filem ‘arthouse’, katanya.

“Setakat ini mereka menerima hakikat bahawa mereka ada di sini, dan mereka tidak akan pergi, dan mereka bukan serigala besar dan jahat seperti apa yang disangkakan,” katanya.

‘Roma’ juga berdepan dengan cabaran yang sukar kerana tidak ada filem bahasa asing pernah memenangi hadiah filem terbaik.

 Gambar fail yang diambil pada 6 Januari 2019 ini menunjukkan pengarah Alfonso Cuaron bersama anugerah  yang dimenangi filem ‘Roma’ semasa Golden Globe Awards yang diadakan di Beverly Hills, California. Netflix menerima pencalonan pertamanya bagi anugerah Oscar untuk filem terbaik yang berprestij Selasa lepas bagi ‘Roma’, satu pencapaian yang akan diuji sama ada institusi perfileman di Hollywood bersedia ataupun tidak untuk menganugerahkan hadiah utamanya kepada servis striming. — Gambar AFP
WAKIL NETFLIX: Gambar fail yang diambil pada 6 Januari 2019 ini menunjukkan pengarah Alfonso Cuaron bersama anugerah yang dimenangi filem ‘Roma’ semasa Golden Globe Awards yang diadakan di Beverly Hills, California. Netflix menerima pencalonan pertamanya bagi anugerah Oscar untuk filem terbaik yang berprestij Selasa lepas bagi ‘Roma’, satu pencapaian yang akan diuji sama ada institusi perfileman di Hollywood bersedia ataupun tidak untuk menganugerahkan hadiah utamanya kepada servis striming. — Gambar AFP

Netflix telah melobi dengan tekun untuk mengambil hati ahli-ahli Akademi.

Syarikat itu melantik seorang pakar strategi anugerah terkemuka yang sebelum ini pernah bekerja dengan The Weinstein Company, yang sememangnya terkenal kerana kempen Oscar yang mahir.

Akres Angelina Jolie dan peminat ‘Roma’ lain dalam senarai A telah menghadiri tayangan, sebahagian daripada usaha untuk menarik pengundi agar menonton filem itu di skrin besar.

Netflix turut mempamerkan filem itu di skrin asal servis strimingnya, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh seterunya dari studio tradisional.

“Tidak pernah ada calon Oscar bahasa asing yang mempunyai sokongan seperti filem ini,” kata Feinberg. “Mereka telah berusaha sedaya upaya.”

Cuaron berkata dia teruja dengan sokongan Netflix bagi sebuah filem yang pelik tanpa bintang yang dikenali.

“Mereka memberi dorongan antarabangsa yang amat, amat besar bagi filem ini, sebenarnya dalam striming dan juga pawagam,” katanya dalam satu wawancara baru-baru ini. “Tidak ada sebarang syarikat yang berbuat demikian.”

Pencalonan ‘Roma’ dijangka dapat membantu Netflix mencapai matlamatnya yang mutlak untuk menambah keahlian globalnya kepada seramai 139 juta pelanggan striming, khususnya di seberang laut di mana syarikat itu mencari perkembangan, kata Feinberg.

“Saya bayangkan di negara berbahasa Sepanyol di seluruh dunia, ia adalah satu perkara di mana orang ingin tahu mengenainya,” kata Feinberg. “Itu hanya akan meningkat.”

Netflix turut menerima tiga pencalonan bagi komedi antologi koboi arahan adik beradik Coen ‘The Ballad of Buster Scruggs’ termasuk satu untuk lagu asal terbaik.

“Terima kasih kepada Akademi kerana mengiktiraf semua orang yang mengambil langkah kreatif sejak setahun lepas,” Ketua Pegawai Kandungan Netflix Ted Sarandos menyebut dalam satu kenyataan baru-baru ini. — Reuters

Advertisement