Anda di sini

Muzium nadi untuk terokai keunikan Sarawak

Advertisement
Abdul Karim menerima cenderahati daripada Suria.
Abdul Karim menerima cenderahati daripada Suria.

KUCHING: Muzium harus menjadi nadi untuk masyarakat terutamanya orang luar mengenali keunikan Sarawak dengan lebih dekat lagi.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dengan cara itu, ia dapat memudahkan masyarakat khususnya pelancong asing yang datang ke negeri ini mendapatkan maklumat berkaitan sejarah dan kekayaan budaya rakyat Sarawak.

"Ini yang kita mahukan yang mana setiap muzium yang kita bangunkan dapat dijadikan nadi atau tempat untuk memberi maklumat kepada semua tentang sejarah negeri kita.

"Dan Muzium Islam juga ada peranannya dalam mengetengahkan sejarah kedatangan dan kegemilangan Islam di Sarawak supaya kita tidak buta berkenaan sejarah kita sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Al-Quran: Amalan Bertadarus, Khatamal dan Tilawah di Sarawak di Muzim Islam Sarawak, di sini hari ini.

Malah, Abdul Karim berkata, melalui institusi muzium juga mampu menjadi tempat tarikan pelancongan di negeri ini.

"Kalau kita hendak pamerkan kepada dunia atau pengunjung luar tentang negeri ini, kita tidak boleh mempromosikan bandar raya Kuching (Sarawak) sebagai destinasi untuk membeli belah. 

"Tetapi kita boleh mempamerkan kepada dunia berkenaan dengan sejarah kita, kekayaan budaya dan kesenian kita melalui institusi muzium yang kita tubuhkan," tambahnya.

Mengambil contoh keindahan Gua Mulu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah baik sistem perhubungan ke kawasan tersebut bagi memudahkan lagi pelancong asing dan tempatan berkunjung ke tempat bersejarah itu.

Mengenai pameran itu, Abdul Karim berkata, amalan bertadarus, khatamal dan tilawah menjurus kepada amalan atau budaya masyarakat Islam di Sarawak amnya dan Melayu khasnya yang masih diamalkan sehingga kini.

Menurutnya, walaupun amalan bertadarus, khatamal dan tilawah turut diamalkan di tempat lain namun amalan ini mungkin tidak sama dengan amalan yang terdapat di Sarawak.

"Keunikan kini cuba kita tonjolkan dalam pameran pada kali ini agar kita sentiasa menghidupkan jati diri kita sehingga ke generasi yang akan datang," tegasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, program tersebut juga sebagai usaha mendukung Kempen Melawat Sarawak 2019 menerusi kepelbagaian aktivit yang dianjurkan dalam mempromosikan keunikan negeri ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Suria Bujang berkata, pameran itu diadakan di Muzium Islam Sarawak turut mempamerkan foto dan artifak serta penceritaan bagi mengungkap keunikan yang ada di negeri ini.

"Kami berharap dengan menonjolkan keunikan serta amalan dalam pembacaan al-Quran ini akan menguatkan lagi jati diri kita sebagai masyarakat Islam di Sarawak agar terus mengekalkan amalan ini hingga ke generasi seterusnya," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement