Anda di sini

TUDM, UPNM perkenal konsep pengajian baharu penerbangan

Advertisement
 Affendi (dua kanan) bersama Abdul Halim (dua kiri) bertukar dokumen selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pengajian baharu Pegawai Kadet (Juruterbang) UPNM di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, Alor Setar, semalam.  — Gambar Bernama
KONSEP PENGAJIAN: Affendi (dua kanan) bersama Abdul Halim (dua kiri) bertukar dokumen selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pengajian baharu Pegawai Kadet (Juruterbang) UPNM di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bekerjasama memperkenalkan konsep pengajian baharu untuk pegawai kadet (juruterbang) yang membolehkan mereka menamatkan pengajian dan dianugerahkan sayap penerbangan pada usia lebih muda.

Panglima TUDM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata di bawah konsep pengajian itu yang dinamakan Program 2u2i, pegawai kadet dijangka dianugerahkan sayap penerbangan pada usia 23 tahun berbanding sebelum ini secara purata pada usia 26 tahun.

“Sebelum ini secara purata pegawai TUDM atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan sayap penerbangan pada usia 26 tahun kerana setiap mereka perlu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di UPNM atau institusi pengajian tinggi awam terlebih dahulu sebelum dipilih mengikuti latihan di Kolej Tentera Udara.

“Namun menerusi program 2u2i ini, pegawai kadet yang terpilih hanya perlu mengikuti pengajian akademik di UPNM selama dua tahun, kemudian mengikuti latihan penerbangan selama dua tahun di Kolej Tentera Udara (KTU),” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara TUDM dengan UPNM mengenai program itu, di sini semalam.

MoA itu ditandatangani oleh Affendi yang mewakili TUDM, manakala UPNM diwakili Naib Canselornya, Lt. Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Affendi berkata bagi pengambilan pertama, seramai 23 telah dipilih yang telah memulakan pengajian di UPNM mulai September tahun lepas dan dijangka menamatkan pengajian pada Okt 2022 sebelum ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat Lt. Muda serta dianugerahkan sayap penerbangan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Program ini memberi manfaat bagi kedua belah pihak iaitu TUDM dan pegawai kadet kerana ia menjimatkan kos, namun dalam soal standard dan piawaian pengajian mereka di universiti kami tidak akan berkompromi,” katanya.

Katanya, menerusi program itu pihaknya menyasarkan pengambilan pelajar seramai 40 orang bagi setiap pengambilan yang diharapkan dapat memenuhi keperluan juruterbang untuk ketiga-tiga sayap perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia selain agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan TUDM untuk Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19), Affendi berkata pihaknya menjanjikan aksi menarik pada pembukaan pameran itu dengan segmen pertunjukan udara melalui penampilan jet pejuang Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet milik TUDM.

“Tentunya aksi kali ini berlainan dari LIMA pada edisi sebelum ini, namun kita tunggu ketika persembahan  pada 26 Mac ini,” katanya.

LIMA yang kini memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991, akan berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Mac ini. — Bernama

Advertisement