Anda di sini

‘Roma’ & ‘The Favourite’ dahului pencalonan Anugerah Oscar

Advertisement
Alfonso Cuaron, Roma.
Alfonso Cuaron, Roma.

FILEM ‘Roma’ arahan Alfonso Cuaron, yang mengisahkan tentang zaman kanak-kanaknya di Mexico City pada tahun 1970-an, dan ‘The Favourite’ telah mendominasi pencalonan Oscar apabila masing-masing dicalonkan dalam 10 kategori Selasa lepas, memberikan gergasi striming Netflix pencalonan pertamanya dalam filem terbaik.

Kisah cinta muzikal popular ‘A Star Is Born’ dan biopik Dick Cheney, ‘Vice’ masing-masing mendapat lapan pencalonan, manakala blokbuster adiwira ‘Black Panther’ memperolehi tujuh pencalonan.

Dengan pengumuman itu, maka laluan ke pentas Anugerah Akademi ke-91 yang akan diadakan pada 24 Februari depan dibuka luas dengan calon-calon yang pelbagai, dan mungkin juga akan memberikan beberapa kejutan.

Bagi pemerhati lama Oscar, Sasha Stone, yang menguruskan Awards Daily, “semua pertaruhan kebanyakannya salah. Sebetulnya apa-apa pun boleh menang dalam keadaan ini.”

Kejayaan besar ‘Roma’ adalah pencipta sejarah bagi Netflix - bukan sahaja ia memberikan pencalonan dalam hadiah utama di acara anugerah itu, namun juga ia merupakan pesaing hadiah-hadiah utama seperti pengarah dan aktres terbaik.

Filem hitam putih itu juga turut mendapat pencalonan dalam kategori aktres pembantu terbaik serta filem bahasa asing terbaik. Bagi Cuaron pula, ia adalah kejayaan peribadi kerana dia sendiri memperolehi empat pencalonan.

“Kita menghidupkan masa hebat dalam sinema di mana kepelbagaian diterima oleh audiens,” kata Cuaron dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Netflix.

Olivia Colman, The Favourite.
Olivia Colman, The Favourite.

Kepelbagaian itu turut dicontohi oleh ‘The Favourite’, yang memberikan sedikit kejutan dengan jumlah pencalonan yang diperolehinya.

Sementara pencalonan untuk tiga bintangnya - Olivia Colman, Emma Stone dan Rachel Weisz - dilihat sebagai hampir pasti, namun pencalonannya untuk hadiah teratas dalam senarai adalah sesuatu yang tidak disangka-sangkakan.

Pengarah Yorgos Lanthimos memperolehi satu pencalonan -- dan bukannya Bradley Cooper, yang diramal banyak pihak untuk arahan sulungnya ‘A Star Is Born’ iaitu versi terkini mengenai kisah cinta muzikal klasik itu.

Walaupun begitu ‘A Star Is Born’ masih lagi memperolehi pencalonan dalam beberapa kategori utama lain iaitu tiga pencalonan dalam lakonan untuk Cooper, Lady Gaga dan pelakon bersama mereka Sam Elliott.

Secara keseluruhannya, terdapat lapan filem bersaing untuk filem terbaik iaitu ‘Roma’, ‘The Favourite’, ‘A Star Is Born’, ‘BlacKkKlansman’ oleh Spike Lee, biopik kumpulan Queen ‘Bohemian Rhapsody’, biopik Dick Cheney ‘Vice’, drama komedi hak asasi ‘Green Book’ dan filem ‘Black Panther’.

‘Black Panther’ turut mencipta sejarah sebagai filem adiwira pertama yang pernah dicalonkan dalam kategori tersebut, satu kejayaan besar untuk Marvel Studios.

“Terima kasih @TheAcademy! #WakandaForever,” tulis pemenang Oscar Lupita Nyong’o, yang membintangi filem itu di Twitter.

‘Green Book’ memperolehi lima pencalonan Oscar, selepas memenangi filem terbaik di acara anugerah Producers Guild of America (PGA) -- yang sering dilihat sebagai penunjuk bagus kepada kejayaan Oscar.

Dua puluh kali daripada 29, pemenang PGA turut memenangi filem terbaik Oscar termasuk filem ‘The Shape of Water’ pada tahun lepas. — AFP

Advertisement