Anda di sini

Populariti sukan gusti lengan meningkat

Advertisement
 (Duduk dari kiri) Stephen, Teng, Abdul Karim, Igor dan Kirill bersama jawatankuasa penganjur dan sebahagian daripada ‘pullers’ merakamkan kenangan selepas sidang media, semalam.
KEMBANG GUSTI LENGAN: (Duduk dari kiri) Stephen, Teng, Abdul Karim, Igor dan Kirill bersama jawatankuasa penganjur dan sebahagian daripada ‘pullers’ merakamkan kenangan selepas sidang media, semalam.

KUCHING: Inisiatif Kelab Gusti Lengan Premier 101 menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa di Sarawak telah membantu mempopularkan sukan gusti lengan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, populariti sukan lasak itu semakin meningkat hasil komitmen berterusan kelab terbabit melalui penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan sukan berkenaan.

“Sukan gusti lengan semakin popular terutama di Sarawak. Ini kerana adanya mereka yang komited seperti mereka di sini yang telah memperkenalkan sukan dan amat komited dengan menganjurkan pertandingan dan melawat ke sekolah hanya untuk mempopularkan sukan ini.

“Persatuan yang terlibat mempopularkan sukan ini memainkan peranan dengan baik dengan membawa masuk ramai peserta dari serata dunia dalam kejohanan ini sekali gus akan mengembangkan lagi sukan ini di Sarawak,” ujarnya semasa menerima kunjungan delegasi Kelab Gusti Lengan Premier 101 di Bangunan Baitul Makmur, semalam.

Abdul Karim berkata, meskipun sukan gusti lengan di Malaysia masih belum mendapat pengiktirafan sepenuhnya di mana ia belum diletakkan dalam sukan kebangsaan, beliau percaya dengan populariti dan kesedaran terhadap sukan tersebut, ia akhirnya akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

Jelas Abdul Karim lagi, sukan gusti lengan juga membantu merancakkan sektor pelancongan sukan negeri dengan kedatangan ramai peserta dari luar negara yang turut serta dalam kejohanan dianjurkan di sini.

Lantas katanya, ia memberi peluang kepada Sarawak untuk mengetengahkan perpaduan kepelbagaian kaum dan keunikan negeri ini kepada pengunjung dari luar.

Sementara itu, Presiden Kelab Gusti Lengan Premier 101, Stephen Kee berkata Kuching (Sarawak) diberi penghormatan sebagai salah satu venue penganjuran kejohanan berprestij, ‘Top 8 Zloty Tur World Cup.’

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) dan pengerusi penganjur kejohanan berkata, temasya bertaraf dunia itu akan dianjur serentak dengan Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 Keempat dijadual berlangsung dari 5 dan 6 April 2019.

Katanya, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) atau salah sebuah hotel di sini sedang dipertimbangkan untuk menjadi venue bagi penganjuran kejohanan itu nanti.

“‘Top 8 Zloty Tur World Cup’ buat pertama kalinya dianjurkan di Asia dan kita berasa amat bangga kerana diberi pengiktirafan sebagai tuan rumah… bukan China, bukan Jepun, bukan Korea.

“Pada tahun lepas kita menganjurkan Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Premier 101 yang turut disaksikan Presiden Liga Gusti Lengan Profesional (PAL) Igor Mazurenko.

“Beliau telah menawarkan Kuching sebagai tuan rumah selepas menonton video tahun lepas dan amat kagum dengan penganjuran di sini di mana kita turut membawa jaguh dunia dari Kanada, Devon Larratt datang ke sini selain (memperkenalkan) budaya kita yang menarik,” katanya.

Menurut beliau lagi, gabungan dua kejohanan besar itu bakal menghimpun kira-kira 3,000 peserta terdiri daripada ‘pullers’ profesional dan amatur dari beberapa negara termasuk para peminat, petugas dan ahli keluarga.

Sehubungan itu jelas beliau, Abdul Karim mahu pihaknya menyediakan kertas kerja secepat mungkin untuk dibentangkan dalam kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Untuk rekod, ‘Top 8 Zloty Tur World Cup’ merupakan salah satu daripada pertandingan tertinggi dalam ‘Unified Rating of Professional Armwrestling’ (URPA) anjuran Liga Gusti Lengan Profesional yang disertai jaguh-jaguh gusti lengan dari seluruh dunia.

Pertandingan Gusti Lengan Amal Antarabangsa Keempat dianjurkan oleh Kelab Gusti Lengan Premier 101 dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Edisi kali ini menawarkan kira-kira RM49,000 (AS$12,000) hadiah wang tunai dalam 10 kategori iaitu Lelaki Terbuka Lengan Kanan (75kg, 88kg, 95kg dan 95kg ke atas), Lelaki Terbuka Kidal (75kg, 90kg dan 90kg ke atas) dan Wanita Terbuka Lengan Kanan (60kg, 75kg dan 75kg ke atas).

Devon Larratt sekali lagi dijemput untuk berkongsi pengalaman dan teknik termasuk jaguh wanita lapan kali dari Ukraine, Snezhana Babaieva.

Hadir sama Penasihat Kelab Gusti Lengan Premier 101 Dato Sri Teng Chi Lik, Igor, Pengurus Pemasaran dan Komunikasi PAL Kirill Yakovler, Presiden MyArms Mohd Zil Fadli dan bekas jaguh tinju negara Sapok Biki.

  • oleh
  • Advertisement