Anda di sini

Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am perlu disusun semula

Advertisement

KOTA KINABALU: Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA) perlu disusun semula selaras dengan aspirasi kerajaan negeri baharu yang mementingkan kebajikan rakyat.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata faktor paling penting ialah integriti, prestasi kerja cemerlang, komitmen tinggi di tempat kerja, tiada rasuah, proaktif dan menjaga kebajikan golongan miskin.

Justeru, katanya pengarah dan timbalan pengarah jabatan itu yang baharu dilantik bertanggungjawab untuk mengkaji semula sistem penyampaian di peringkat daerah, menghapuskan sistem ketinggalan zaman dan memperkenalkan perkhidmatan e-kebajikan secara berkesan.

“JPKA juga wajar mengkaji semula semua latihan di institusi Orang Kelainan Upaya (OKU) agar latihan dibekalkan lebih relevan dengan keperluan semasa dan bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengarah dan Timbalan Pengarah JPKA di sini, semalam.

Mujin Durin dilantik sebagai Pengarah manakala Natalie Gabah selaku Timbalan Pengarah JPKA yang baharu.

Di samping itu, Wong berkata jabatan berkenaan juga harus memperkenalkan perkhidmatan mesra yang baru seperti bekerjasama dengan sekolah, NGO tempatan mahupun antarabangsa serta menjalin kerjasama dengan sektor swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).“Seterusnya mengkaji semula dan melantik orang yang relevan sebagai Ahli Lembaga Pelawat di rumah dan pusat kebajikan,” katanya.

Wong juga mahu pengarah dan semua ketua bahagian di jabatan itu mengkaji dan menyemak semula kemudahan di Rumah Kanak-kanak dan bekerjasama dengan NGO untuk mengadakan kelas tuisyen untuk golongan berkenaan.

“Jabatan Kebajikan juga harus memandang serius terhadap projek-projek kebajikan yang telah tertunda dan ‘sakit’. Sebagai contoh, Pusat Mini Kanak-kanak Tawau yang telah ditarik balik oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata di bawah pimpinan pengarah dan timbalan pengarah baharu, imej JPKA perlu ditingkatkan menjadi sebuah jabatan yang prihatin dan cekap.

Semua pegawai kebajikan harus dilatih semula agar mengamalkan sikap yang betul dan mendapat pendedahan serta kemahiran latihan sewajarnya, kata beliau.

Wong berkata pengarah dan semua warga JPKA harus rajin turun padang untuk memantau pelaksanaan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan perkhidmatan sampai kepada golongan sasar serta pengagihan bantuan dijalankan dengan kemas dan teratur untuk mengelak aduan. — Bernama

Advertisement