Anda di sini

Kitar semula kaca tepati saranan kerajaan

Advertisement
ASSAFFAL (tiga dari kanan) dan Jenifer (dua dari kanan) menyaksikan Thor (kiri) menyampaikan replika cek kepada Anne (kanan) pada majlis itu.
ASSAFFAL (tiga dari kanan) dan Jenifer (dua dari kanan) menyaksikan Thor (kiri) menyampaikan replika cek kepada Anne (kanan) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Projek Kitar Semula Kaca menepati saranan kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai negeri paling mengamalkan konsep persekitaran hijau.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal Alian berkata, langkah menjaga alam sekitar adalah usaha peringkat global yang perlu diperkasakan.

"Projek sebegini secara tidak langsung menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan untuk Sabah.

"Kementerian sentiasa menyokong inisiatif seperti ini dan berharap ia akan diperluaskan ke kawasan pantai timur Sabah khususnya di kawasan saya di Tungku," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Kitar Semula Kaca Pertama di Sabah di sini hari ini.

Assaffal berkata, tahun lepas Sabah mencatat peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 4.9 peratus.

Jumlah berkenaan jelasnya, melibatkan pelancong tempatan sebanyak 2.3 juta orang dan 1.2 juta pelancong antarabangsa.

Pihaknya melihat usaha untuk mengekalkan kehijauan serta keaslian alam semulajadi di negeri ini sebagai salah satu tarikan pelancongan amat wajar dipergiatkan.

"Kebanyakan pelancong yang datang ke Sabah mahu melihat keindahan alam sekitar yang terdapat di sini.

"Dengan peningkatan dalam industri pelancongan, amat penting untuk kita saling bekerjasama bagi memastikan Sabah mampu mengekalkan keindahan alam semulajadi sedia ada," katanya.

Projek berkenaan adalah hasil kerjasama yang dilaksanakan oleh Pacos Trust, Ripple iaitu sebuah perusahaan sosial dan juga Hotel Hyatt Regency Kinabalu.

  • oleh
  • Advertisement