Anda di sini

‘Gotti’ lakonan Travolta & Trump dapat pencalonan Razzie

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan John Travolta bersama isterinya, Kelly Preston dan anak perempuan mereka.
CALON RAZZIE: Gambar fail menunjukkan John Travolta bersama isterinya, Kelly Preston dan anak perempuan mereka.

FILEM samseng gagal ‘Gotti’ yang dibintangi John Travolta dan Presiden Donald Trump dicalonkan Isnin lepas untuk Anugerah Razzie bagi filem-filem terburuk pada 2018 selepas tahun yang dianggap oleh penganjur sebagai penuh dengan bencana – baik di dalam mahupun di luar skrin.

Komedi baharu Sherlock Holmes ‘Holmes & Watson’ menerima enam pencalonan, termasuk untuk dua bintangnya Will Ferrell dan John C. Reilly, yang dicalonkan kerana “merendahkan dua watak paling disayangi dalam kesusasteraan”.

Razzies Awards yang selamba, dan diwujudkan pada 1980, bertindak sebagai penawar kepada Anugerah Oscar di Hollywood.

Calon diumumkan sehari sebelum pencalonan Anugerah Oscar – penghormatan tertinggi dalam industri perfileman.

“Dengan pasaran saham yang terhuyung-hayang, pendakwaan presiden yang mungkin akan berlaku, kebakaran belantara yang buruk, banjir yang menyebabkan kemusnahan, serangan tembakan besar-besaran dan pelbagai bencana yang mencapai tahap hampir ala malapetaka, 2018 merupakan tahun yang melimpah dengan bencana,” pengasas Razzie, John Wilson, menyebut dalam satu kenyataan.

“Selain itu kita ada filem-filem pada tahun lepas,” katanya.

Trump menerima dua pencalonan pelakon terburuk kerana berlakon sebagai diri sendiri dalam dua dokumentari pada 2018 iaitu ‘Death of a Nation’, karya pembuat filem konservatif Dinesh D’Souza, dan ‘Fahrenheit 11/9’ daripada pengarah liberal Michael Moore.

Trump pernah memenangi anugerah Razzie bagi penampilan kameo sebagai seorang ahli perniagaan dalam komedi jenayah pada 1989 ‘Ghosts Can’t Do It’ yang dibintangi Bo Derek.

Pada Isnin lepas, isteri Trump, Melania, dan pembantu White House, Kellyanne Conway, menerima pencalonan dalam bahagian aktres pembantu terburuk untuk rakaman arkib mereka dalam ‘Fahrenheit 11/9’.

‘Gotti’, mengenai mendiang ketua Mafia New York, John Gotti, mengaut hanya AS$4.3 juta di box office pada musim panas lalu dan memperolehi enam pencalonan, termasuk filem, lakon layar dan pelakon terburuk selain “kombo skrin terburuk” untuk dua orang bintang, Travolta dan isterinya Kelly Preston.

Calon dan pemenang anugerah Razzie diundi dalam talian oleh kira-kira 1,000 ahli Razzie dari 24 negara, yang  mendaftar diri dalam talian dan membayar yuran keahlian AS$40.  

Pemenang filem terburuk pada tahun lepas – jika mereka muncul – akan diberi trofi yang disembur dengan cat emas di satu majlis yang diadakan sehari sebelum Academy Awards pada 24 Februari.

— Reuters

Advertisement