Anda di sini

Tuntutan palsu RM500,000: ADUN Terengganu direman tiga hari

Advertisement
 Seorang ADUN bergelar ‘Datuk’ (tengah) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. — Gambar Bernama
DIREMAN: Seorang ADUN bergelar ‘Datuk’ (tengah) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu bergelar ‘Datuk’ direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000, tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif, bermula semalam.

Tuntutan tersebut dikatakan dikemukakan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah di sebuah daerah di negeri ini untuk perbelanjaan 32 program yang dijalankan di sekitar kawasan DUN yang diwakilinya sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana membuat tuntutan palsu sekitar Mei tahun lalu.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Penahanan ADUN berusia 54 tahun itu dibuat rentetan penahanan seorang pengerusi persatuan belia pada 9 Jan dan seorang pegawai daerah pada 14 Jan. Kedua-duanya ditahan berhubung kes tuntutan palsu berkenaan.

Kedua-dua suspek tersebut turut direman namun dibebaskan setelah selesai soal siasat iaitu masing-masing dijamin RM10,000 dengan deposit dan RM10,000 tanpa deposit.

ADUN tersebut ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira jam 5 petang kelmarin.

— Bernama

Advertisement