Anda di sini

‘Till The Last Ride’ sasar 200 penyertaan

Advertisement
 Abdul Karim (lima kanan) menerima baju rasmi daripada wakil penganjur Sarawak Bike Challenge 2019 pada kunjungan hormat di pejabatnya di Kuching semalam.
BAJU RASMI: Abdul Karim (lima kanan) menerima baju rasmi daripada wakil penganjur Sarawak Bike Challenge 2019 pada kunjungan hormat di pejabatnya di Kuching semalam.

KUCHING: Acara ‘Samarahan Bike Challenge 2019’ bakal berlangsung pada 30 dan 31 Mac depan dengan bermula dan berakhir di hadapan Summer Mall dan sepanjang Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan dekat sini.

Acara itu anjuran bersama Pejabat Daerah Samarahan dan Kumpulan Petugas Pelancongan Bahagian Samarahan (DTTG) dan mendapat sokongan padu Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tahun ini Samarahan Bike Challenge telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak.

Dengan tema ‘Till The Last Ride’, tahun ini merupakan penganjuran edisi keenam Samarahan Bike Challenge sejak pertama kali diadakan pada 2013.

Objektifnya adalah untuk memperkenal dan mempopularkan sukan berbasikal di kalangan pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), belia dan penduduk sekitar kawasan Samarahan.

Selain itu, acara tersebut juga bertujuan menjadikan Kota Samarahan sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan serta melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan berbasikal.

“Kita berharap penganjuran acara itu dapat menjadikan Kota Samarahan sebagai salah satu destinasi atau lokasi bagi pelumbaan basikal dan menjadikan lumba basikal sebagai sukan teras di daerah Samarahan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Karim menerima kunjungan hormat daripada jawatankuasa induk penganjuran Samarahan Bike Challenge 2019 di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.

Acara tersebut akan mempertanding lima kategori iaitu Elite Lelaki Kriterium (42km), Veteran ‘All Star’ Kriterium (36km), Sarawak Close Kriterium (42km), Remaja Lelaki Kriterium (30km) dan Wanita Kriterium (30km).

Acara ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia di samping turut menggalakkan penyertaan dari luar negara.

Dalam pada itu, penganjur menyasarkan seramai 200 peserta dari dalam dan luar negara menyertai acara itu dan turut dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan lain.

Antaranya pertandingan ‘Push Bike’ bagi kanak-kanak bawah enam tahun,‘megathon’ terbuka kepada agensi kerajaan, swasta dan jawatankuasa kampung, pingpong (jemputan agensi kerajaan dan Bahagian Samarahan) serta pertandingan e-Sukan terbuka.

Pertanyaan lanjut mengenai pertandingan itu serta penyertaan boleh hubungi urus setia iaitu Razali Amat atau Nurafik Abdullah di talian 082-671105 atau 082-6711148.

  • oleh
  • Advertisement