Anda di sini

Tiga empangan hidrolektrik dibangun secara holistik

Advertisement
 Abang Johari (tengah) hadir pada Majlis Menandatangani MoU antara Sarawak Energy dan Tabung Amanah Bakun di Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Abdul Rahman, Hamed, Masing dan Rundi. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
SAKSI: Abang Johari (tengah) hadir pada Majlis Menandatangani MoU antara Sarawak Energy dan Tabung Amanah Bakun di Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Abdul Rahman, Hamed, Masing dan Rundi. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kawasan  di sekitar projek Empangan Hidroelektrik Bakun, Baleh dan Murum akan dibangunkan secara holistik di bawah Agensi  Pembangunan Hulu Rajang (URDA).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.5 bilion kepada URDA untuk membangunkan infrastruktur di kawasan Hulu Rajang.

Peruntukan besar itu katanya, juga akan digunakan bagi tujuan pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk kawasan projek hidro di Bakun, Baleh dan Murum.

“Infrastruktur yang akan kita bangunkan ini di bawah URDA ini akan menghubungkan kawasan-kawasan ini dan membolehkan masyarakat setempat terlibat dalam kegiatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan Tabung Amanah Bakun.

Tambah Abang Johari, bagi merancakkan lagi pembangunan di wilayah ini lapangan terbang bagi pesawat ringan akan dibangunkan di Bukit Mabong dalam kawasan Kapit.

Selain itu katanya, kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk membina jalan alternatif ke Bakun tanpa perlu melalui kawasan keselamatan projek hidro Bakun.

Bercakap mengenai MoU semalam, Abang Johari berkata ia akan memantapkan lagi persefahaman antara masyarakat tempatan dengan Sarawak Energy.

Beliau turut berharap bantuan pendidikan itu tidak hanya tertumpu kepada satu disiplin sahaja tetapi turut meliputi empat disiplin penting iaitu ekonomi, hartanah, teknologi maklumat dan pemasaran.

Empat disiplin ini katanya, adalah penting dan perlu diberi perhatian dan dikuasi oleh anak-anak Sarawak yang akan menjadi tonggak kepada pembangunan Sarawak.

Selain menandatangani MoU, Sarawak Energy pada majlis itu semalam turut menyampaikan cek kepada Tabung Pendidikan Skim Penempatan Semula Bakun, Tabung Pendidikan Belaga Penan dan Tabung Pendidikan Batang Ai.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi,  Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement