Anda di sini

Tidak perlu ke Pulau Tiga untuk mandi lumpur

Advertisement
 Jepinus (dua kiri) mendengar penerangan daripada Angel (tiga kiri) mengenai kebaikan mandi lumpur gunung berapi di KP Mud.
TARIKAN: Jepinus (dua kiri) mendengar penerangan daripada Angel (tiga kiri) mengenai kebaikan mandi lumpur gunung berapi di KP Mud.

KUALA PENYU: Pelancong dalam mahupun luar negara kini tidak perlu ke Pulau Tiga untuk melakukan aktiviti mandi lumpur memandangkan daerah ini sendiri memiliki produk pelancongan seumpama itu yang terletak di Kampung Tambilik.

Justeru, pelancong boleh memanfaatkan masa sepenuhnya tanpa perlu bersusah payah meredah lautan untuk ke Pulau Tiga yang memakan masa kira-kira 30 minit dari pekan Kuala Penyu.

Lokasi seluas setengah ekar yang terletak di Kampung Tambilik, di sini, mempunyai lima kawah mandian lumpur gunung berapi yang bakal menarik ramai pelancong asing ke kawasan ini.

Kelebihan berkenaan mampu menjadikan Kuala Penyu sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini sekali gus menjana ekonomi setempat melalui penjualan pelbagai produk hiliran.

Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kuala Penyu Jepinus Kimuin berkata, lokasi yang diurus tadbir sebuah syarikat pelancongan tempatan itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan ini.

Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury turut menyokong inisiatif syarikat itu memandangkan kawasan ini memiliki alam semula jadi indah dan sesuai untuk pembangunan industri itu.

“Kita juga memiliki pantai yang indah, termasuk produk hidupan liar seperti monyet Proboscis, serangga kunang-kunang serta pelbagai lagi produk pelancongan menarik yang mampu menarik ramai pengunjung luar.

“Justeru, pihak kami menyokong usaha syarikat ini yang sudah tentu bakal menjadikan kawasan ini antara destinasi tumpuan pelancongan utama di Malaysia,” katanya selepas merasmikan Pembukaan KP Mud Volcano, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Syarikat Peng An, Angel You dan Pegawai Kemajuan Rakyat (CDO) Kuala Penyu.

Sementara itu, Angel berkata pihaknya akan membawa lebih ramai pelancong luar ke kawasan ini memandangkan aktiviti mandian lumpur gunung berapi adalah antara kegemaran mereka.

“Kita akan membantu mempromosi Kuala Penyu kepada pelancong luar negara khususnya dari China dan pada masa sama akan turut bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

Advertisement