Anda di sini

TEKUN Nasional tawar kerjasama bangunkan hab pertanian di Sarawak

Advertisement
Mohamad Suparadi (tiga kiri) menyampaikan anugerah kepada cawangan TEKUN Sarawak yang terbaik sempena Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kerja TEKUN Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini
Mohamad Suparadi (tiga kiri) menyampaikan anugerah kepada cawangan TEKUN Sarawak terbaik hari ini.

KUCHING: Kerajaan persekutuan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membangunkan hab pertanian di Sarawak.

Menurut Pengerusi Tekun Nasional Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, perkara itu sudah disuarakannya kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa mengadakan kunjungan hormat kepada beliau pada Isnin.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan persekutuan melalui TEKUN Nasional untuk membantu usahawan di Sarawak menerusi sektor pertanian.

“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membantu usahawan melalui Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, di mana skop yang akan kita tumpukan adalah bidang pertanian.

“Dengan ini, kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyediakan tanah yang akan mengeluarkan hasil-hasil pertanian, dan menjadikan Sarawak sebagai hab pertanian,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kerja TEKUN Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran keluasan tanah yang akan dibangunkan sebagai hab pertanian di Sarawak belum lagi ditetapkan, memandangkan ia masih di peringkat perbincangan.

Terdahulu, Mohamad Suparadi berkata TEKUN Sarawak merupakan yang kedua terbaik di Malaysia, dari segi kutipan pinjamannya.

Katanya, kebanyakan peminjam di bawah TEKUN Sarawak adalah terdiri daripada wanita iaitu 68 peratus, manakala lelaki hanya 32 peratus.

“Dalam tempoh 20 tahun ini, kita sudah mengeluarkan lebih kurang 267 juta pembiayaan di Sarawak, dan berjaya membangunkan 43,000 usahawan kecil, sederhana dan besar manakala pada tahun 2018, kita menyediakan 23.9 juta untuk membiayai seramai 1,511 peminjam,” katanya.

Justeru, beliau berkata untuk tahun ini, TEKUN Nasional akan menyalurkan pembiayaan sebanyak RM25 juta kepada Sarawak, dengan sasaran peminjam seramai 1,871 usahawan.

“Mungkin kita akan menambah lagi jumlah pembiayaan ini memandangkan permintaan yang ada di Sarawak dan komitmen TEKUN Sarawak yang begitu terselah,” katanya.

Turut hadir pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani.
 

  • oleh
  • Advertisement