Anda di sini

Sherry Al Hadad & Alif Satar hos AJL33, Defam ganti Altimet pada 3 Feb ini

Advertisement
FINALIS AJL33
FINALIS AJL33

MALAM kemuncak dalam industri muzik tanah air yang akan menyaksikan 12 lagu bakal berentap untuk dinobatkan sebagai lagu terbaik iaitu Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) akan diadakan pada 3 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil selain turut disiarkan secara langsung di saluran TV3 bermula jam 9 malam.

Lagu-lagu yang berjaya mara ke AJL33 adalah ‘Semakin’ nyanyian Siti Sarah, ‘Bunga’ (Ara Johari), ‘Kau Pun Sama’ (Syamel), ‘Sampai Bila’ (Misha Omar), ‘Haram’ (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah), ‘Luluh’ (Khai Bahar), ‘Bunga’ (Altimet), ‘Jatuh Bangun’ (Haqiem Rusli ft Aman Ra), ‘Tak Pernah Hilang’ (Amylea X Kaer), ‘Hajat’ (Hael Husaini), ‘Di Matamu’ (Sufian Suhaimi) dan ‘Nisan Cinta’ (Siti Nordiana & Jaclyn Victor).

Sama seperti tahun lalu, AJL33 mengekalkan gandingan hos Sherry Al Hadad dan Alif Satar selain turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kumpulan Search, artis-artis genre hip-hop tanah air dan BBNU seperti Sarah Suhairi, Ismail Izzani dan Nabila Razali.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, tiket AJL33 yang bermula daripada RM25 (aras 4), RM35 (aras 3) dan RM55 (arena) turut dijual kepada pihak umum secara atas talian melalui laman sesawang www.myticket.asia bermula pada tarikh jualan 7 Januari 2019.

  Ahli kumpulan Defam, Azira Shafinaz (kiri) dan Sophia Liana akan menyanyikan lagu ‘Bunga’ pada Malam Kemuncak AJL33 nanti.
PENGGANTI ALTIMET: Ahli kumpulan Defam, Azira Shafinaz (kiri) dan Sophia Liana akan menyanyikan lagu ‘Bunga’ pada Malam Kemuncak AJL33 nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak dalam satu kenyataan media, tiket-tiket telah laris dijual dalam masa hanya beberapa jam.

“Ini membuktikan bahawa Anugerah Juara Lagu masih relevan pada industri muzik tanah air dan sangat dinantikan oleh para peminat. Seperti mana yang diketahui ramai, AJL bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para pemuzik tanah air yang merangkumi composer, penulis lirik dan juga penyanyi. AJL sentiasa mencipta bintang ternama dan para pemenang AJL sebelum ini seperti Search, Yassin, M.Nasir, Siti Nurhaliza dan ramai lagi terpahat di hati rakyat Malaysia,” kata Johan.

Anugerah penuh berprestij ini menampilkan SAMSUNG GALAXY A9 dan KFC sebagai penaja bersama. Samsung juga akan menyumbangkan hadiah bagi kategori Persembahan Terbaik.

Selain itu, Samsung Galaxy A9 akan mengadakan satu peraduan yang memberi peluang kepada para peminat industri muzik tanah air untuk beramah mesra dan berinteraksi bersama artis kegemaran mereka.

Pada 26 Januari 2019 (Sabtu), Prelude AJL 33, showcase yang bakal merancakkan debaran Anugerah Juara Lagu ini akan berlangsung di KL Live pada jam 8.30 malam.

Menangi empat fun tiket eksklusif ke Prelude AJL 33 dengan memuat naik gambar huruf ‘A’ paling kreatif disertakan kapsyen menarik dan tanda pagar #GalaxyA9 dan tag @samsungmalaysia dan @tv3malaysia.

Hantar penyertaan anda di ruang komen pengumuman peraduan Prelude AJL 33 di Facebook TV3Malaysia. Peraduan yang bermula pada 17 Januari lepas itu akan berakhir pada hari ini (22 Januari).

Seramai 125 pemenang bertuah berpeluang untuk beramah mesra bersama artis kegemaran mereka dan saksikan mereka melakukan persembahan secara langsung. Selain itu, Prelude AJL 33 boleh ditonton secara langsung di laman YouTube dan Facebook TV3Malaysia. Prelude AJL 33 dihoskan oleh Haziq Hussni, Nana Mahazan dan Aaron Al Fateh serta menampilkan Syamel, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Amylea X Kaer, Sufian Suhaimi, Zaaim Mentor, Ismail Izzani dan Nabila Razali.

Sempena AJL33, anda juga berpeluang untuk memenangi sepasang tiket Arena ke AJL33 bernilai RM110 dengan menyertai peraduan AJL 33 Idol.

Mulai 26 Januari (Sabtu) sehingga 31 Januari (Khamis), nantikan klip video karaoke finalis AJL33 berdurasi 30 saat pada waktu yang telah ditentukan di TV3 atau strim TV3 di tonton setiap hari. Rakam diri anda menyanyikan lagu yang dipaparkan dan muat naik ke Instagram beserta #AJL33IDOL dengan segera.

Hanya 20 penyertaan terawal bagi setiap lagu akan disenarai pendek untuk dipilih sebagai pemenang. Hanya satu pemenang akan dipilih untuk setiap lagu. Maklumat lanjut serta terma dan syarat peraduan boleh didapati di laman media sosial TV3Malaysia dan www.xtra.com.my.

DEBARAN AJL33

Debaran AJL33 akan membawa para peminat Anugerah Juara Lagu di sebalik tabir malam berprestij industri muzik tanah air.

Bersiaran secara langsung di TV3 pada 2 Februari, jam 5.30 petang hingga 6.30 petang, Debaran AJL33 akan dihoskan oleh Haziq Hussni dan rancangan ini merangkumi segala aspek yang menggerakkan AJL seperti pemasangan pentas, persiapan pihak teknikal dan produksi serta perasaan finalis yang bakal membuat persembahan.

Saksikan juga Karpet Merah AJL33 yang bakal bersiaran secara langsung di TV9 pada 8.30 malam hingga 9.00 malam dan akan dikendalikan oleh Kaka Azraff dan Shuk Sahar dan ikuti fesyen unik para finalis dan artis kegemaran anda pada malam itu.

 Persembahan AJL33 segmen hiphop merangkumi kumpulan hiphop, Nico.
ARTIS JEMPUTAN: Persembahan AJL33 segmen hiphop merangkumi kumpulan hiphop, Nico.

Karpet Merah AJL33 turut boleh ditonton di YouTube TV9Malaysia, aplikasi Hot FM, media sosial Instagram Senang Terhibur dan di laman web atau aplikasi tonton. Liputan lanjut Karpet Merah AJL33 dari 9.00 malam hingga 9.30 malam akan disiarkan khas di YouTube TV9Malaysia.

Sementara itu, portal XTRA membawakan segmen Live Chat selain Galeri Foto (LIVE) eksklusif yang akan ditempatkan di sekitar Axiata Arena.

Berinteraksi dengan finalis AJL 33 kegemaran anda bermula 9 malam di www.xtra.com.my! Selain itu, saksikan kesemua klip persembahan beserta komentar pada malam anugerah di portal XTRA.

Tambah menarik, AJL33 turut menawarkan peluang buat penonton mengundi kategori Persembahan Terbaik pada malam kemuncak di www.xtra.com.my/ajl33.

Undian yang akan dibuka bermula dari persembahan pertama finalis dan ditutup sebelum persembahan interlude itu akan menyumbang kepada 50 peratus markah keseluruhan manakala baki 50 peratus markah adalah daripada juri profesional.

Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk saksikan AJL33 secara langsung di Axiata Arena, anda boleh saksikan AJL33 di YouTube TV3Malaysia dan juga di portal video tonton, www.tonton.com.my. AJL33 disokong oleh Geng Digital Xtra, SENANG TERHIBUR, Donna danDhia; serta Geng RadioHot FM danKool FM.

Advertisement