Anda di sini

RM20 juta untuk bina perparitan di Limbang, Lawas

Advertisement
 (Dari tiga kanan) Awang Tengah, Henry, Dr Abdul Rahman, Awangku Jinal (berdiri kiri) melakukan gotong-royong membina rumah seorang penduduk di Merapok kelmarin.
GOTONG-ROYONG: (Dari tiga kanan) Awang Tengah, Henry, Dr Abdul Rahman, Awangku Jinal (berdiri kiri) melakukan gotong-royong membina rumah seorang penduduk di Merapok kelmarin.

LAWAS: Kerajaan Sarawak meluluskan RM20 juta di bawah Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk pembinaan sistem perparitan di Limbang dan Lawas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peruntukan tambahan RM10 juta akan diperuntukkan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan projek itu.

Beliau berkata, setiap kampung di bahagian ini perlu mengemukakan permohonan pembangunan kepada NRDA yang memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memacu pembangunan wilayah utara negeri ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Belanjawan Sarawak 2019 untuk pelaksanaan projek pembangunan NRDA di utara negeri ini,” katanya pada pada Majlis Gotong-Royong Projek Kerajaan Sarawak (MRP-PPMS) DUN 82 Bukit Sari di Kampung Bangkatan Merapok kelmarin.

Turut hadir Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas merangkap Pengerusi Majlis Daerah Lawas (MDL) Ladin Atok, Timbalan Pengerusi MDL Kaunselor Awangku Jinal Pengiran Jawa dan Superintenden Jabatan Tanah dan Survei Limbang Awang Nazri Awang Saperi bersama wakil daripada Pengarah JTS Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata lagi, rakyat perlu terus memberi kerjasama kepada kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya pembangunan dapat dilaksanakan.

Jelasnya, GPS akan terus mengutamakan kebajikan dan pembangunan negeri ini melalui pelbagai pendekatan sesuai dengan budaya dan penempatan rakyat pelbagai kaum di serata negeri.

Pada majlis itu, Awang Tengah turut menyampaikan pampasan kepada 11 penerima membabitkan jumlah keseluruhan RM1.3 juta.

Sementara itu, ketika merasmikan Bazar Tahun Baharu Cina 2019 di gelanggang bola keranjang Lawas beliau mahu rakyat pelbagai lapisan agama dan budaya mengekalkan keharmonan dan kestabilan yang ada.

“Perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini merupakan warisan amalan turun temurun yang mesti dipertahankan oleh semua,” ujarnya.

Kata beliau, perayaan-perayaan utama di negeri ini telah dianggap sebagai perayaan bersama rakyat Sarawak.

“Malahan perayaan-perayaan ini menjadi pengikat kepada perpaduan teguh rakyat negeri ini,” katanya.

Advertisement