Anda di sini

Petani tempatan dibantu pasarkan hasil tanaman: Uggah

Advertisement
 Uggah melihat pes durian sejuk beku yang hendak dieksport ke Kuala Lumpur di A.T.A Supplies, Bintawa semalam. Turut kelihatan Dr Abdul Rahman (dua kanan), Ik Pahon (kiri) dan Andeline (kanan).
PRODUK SARAWAK: Uggah melihat pes durian sejuk beku yang hendak dieksport ke Kuala Lumpur di A.T.A Supplies, Bintawa semalam. Turut kelihatan Dr Abdul Rahman (dua kanan), Ik Pahon (kiri) dan Andeline (kanan).

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus mempertingkatkan rantaian pasaran untuk petani tempatan memasarkan hasil-hasil tanaman terutama buah-buahan seperti durian dan rambutan.

Antara inisiatif yang telah diguna pakai adalah melalui model perniagaan dan pembangunan Perkongsian Sektor Awam-Swasta (PPP) dengan melantik syarikat-syarikat utama yang mempunyai teknologi, kepakaran pengurusan, modal dan akses pasaran sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha tersebut merupakan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam membantu petani khususnya di luar bandar untuk meraih pendapatan, sekali gus mencapai sasaran menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

“Konsep dan falsafah kita adalah untuk membeli apa sahaja hasil pertanian yang ada daripada petani.

“Ini adalah fokus utama kita untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, merapatkan jurang pendapatan antara penduduk luar bandar dengan bandar serta menangani kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penghantaran pes durian tempatan Sarawak ke Kuala Lumpur di A.T.A Supplies (A.T.A), Bintawa dekat sini, semalam.

Menurut Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, memang tidak dinafikan banyak tanah di luar bandar dan penduduknya juga mengusahakan banyak tanaman namun kalau hasilnya tidak dibeli, maka ia tidak memberi hasil kepada petani.

Sehubungan itu, beliau berkata bagi menggalakkan lagi petani memasarkan hasil pertanian, Pertubuhan Peladang telah bekerjasama dalam menyediakan pengangkutan untuk penghantaran.

Sementara mengenai kerjasama dengan A.T.A, Uggah berkata ia telah membantu menyelesaikan isu pemasaran durian yang dihadapi oleh petani di luar bandar terutama ketika berlaku lebihan bekalan dan kejatuhan harga.

Justeru, katanya pes durian yang dihasilkan oleh A.T.A kini telah dieksport ke Kuala Lumpur dan sebahagiannya ke China, kerana permintaannya yang tinggi untuk produk pastri, ais krim dan sebagainya.

“Durian-durian ini bukan Musang King… ia durian biasa yang dibeli daripada penduduk di Padawan, Bau, Serian, Simunjan dan Betong,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datu Ik Pahon Joyik dan pemilik A.T.A Supplies, Andeline Poo Phei Sian.

  • oleh
  • Advertisement