Anda di sini

Penumpang menggigil terkandas 16 jam di lapangan terbang Kanada

Advertisement

MONTREAL: Satu kecemasan perubatan dan masalah mekanikal telah menyebabkan para penumpang sebuah pesawat United Airlines terkandas selama kira-kira 16 jam di atas laluan tar dingin di sebuah lapangan terbang Kanada di dalam pesawat yang agak sejuk, lapor rangkaian CBC.

United Flight 179 telah berlepas pada lewat Sabtu lepas dari Newark, New Jersey dalam perjalanan ke Hong Kong bersama kira-kira 250 penumpang di dalamnya.

Ketika seorang penumpang mengalami masalah perubatan pesawat itu telah melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang Goose Bay di wilayah Newfoundland dan Labrador, di pantai timur Kanada, syarikat penerbangan memberitahu CBC.

Namun selepas paramedik membawa beliau ke hospital, pesawat itu tidak dapat berlepas, dilaporkan kerana suhu yang sangat sejuk -30 darjah Celsius telah menyebabkan sebuah pintunya membeku.

Dengan tiada pegawai kastam yang bertugas semalaman, para penumpang terpaksa berada di dalam pesawat, ramai yang menggigil kesejukan sambil berselubung dengan selimut nipis diberikan oleh atendan penerbangan.

Dengan makanan dan air yang semakin berkurangan kira-kira 10 jam berada dalam keadaan tersebut, pihak berkuasa akhirnya tiba untuk memberikan bekalan dari rangkaian restoran makanan Tim Hortons  yang terkenal di Kanada dengan kopi dan donatnya.

Salah seorang penumpang, Sonjay Dutt, dihubungi me-lalui telefon bimbit, berkata pesawat telah mengalami keadaan kurang panas dan kemunculan makanan dan kopi adalah tidak mencukupi untuk menenangkan penumpang yang semakin berang.

Sebuah pesawat bantuan tiba di Goose Bay pada lewat pagi Ahad. Selepas para penumpang dipindahkan ke pesawat itu dengan menggunakan bas, ia berlepas pada waktu tengah hari untuk membawa mereka ke Newark, dari mana mereka datang pada hari sebelumnya, kata CBC.

Sebahagian besar bahagian timur Kanada, termasuk bahagian timur laut Amerika Syarikat, sedang mengalami keadaan amat sejuk, dengan penurunan salji yang lebat telah membawa kepada beberapa pembatalan penerbangan.

Pada penghujung pengalaman getir dalam pesawat United, penumpang Dutt menyatakan dalam Twitter bahawa “ia merupakan satu hari yang sangat, sangat, sa-ngat panjang.” — AFP

Advertisement