Anda di sini

Malaysia mulakan Program Latihan Alibaba Netpreneur

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi negara Asia pertama, di luar China, yang memulakan Program Latihan Alibaba Netpreneur dari 23 Mac hingga 3 April 2019, yang akan melengkapkan inisiatif Platform Perdagangan Elektronik (eWTP) yang sedang berlangsung di Malaysia.

Naib Presiden Alibaba, Brian Wong, berkata program 10 hari itu akan berlangsung di Ibu Pejabat Alibaba di Hangzhou, China, dikuti program latihan kedua dari 13 April hingga 24 April 2019.

Program itu bertujuan untuk membolehkan usahawan Malaysia dan mereka yang mengendalikan perniagaan dalam pasaran Malaysia memafaatkan inovasi digital bagi mengubah perniagaan dan ekonomi negara, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menerusi perjanjian eWTP dengan Malaysia, Wong berkata Kumpulan Alibaba komited untuk memudahkan pembangunan infrastruktur eTrade dan penggunaan amalan terbaik.

“Program Latihan Alibaba Netpreneur, yang dianjurkan bersama oleh Sekolah Perniagaan Alibaba, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation Malaysia, diprogramkan untuk menampung keperluan yang berbeza bagi perniagaan yang berlainan di Malaysia, ketika mereka menyesuaikan diri dengan ekosistem digital,” kata Wong.

Wong berkata 50 usahawan akan menyertai setiap program latihan.

 Ditanya sama ada program latihan akan diteruskan selepas ini, Wong berkata: “Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan perniagaan Malaysia dalam berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam usaha untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) mendapat manfaat sepenuhnya daripada globalisasi.

“Kami akan terus menyediakan inisiatif latihan dan menjalankan program ini untuk perniagaan Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan kami di bawah program eWTP, yang bertujuan untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh usahawan Malaysia, kami akan membantu kedua-dua perniagaan tradisional dan perniagaan digital untuk mengubah cabaran menjadi peluang untuk menggerakkan perniagaan mereka,” kata Wong.

Program Latihan Alibaba Netpreneur, yang bertujuan untuk membolehkan usahawan Malaysia dan mereka yang mengendalikan perniagaan tempatan untuk menerima inovasi digital, dilancarkan oleh Sekolah Perniagaan Alibaba.

“Kami berharap para peserta akan berkongsi pengetahuan yang diperoleh dan pengalaman mereka dengan komuniti perniagaan yang lebih luas di Malaysia dan memberi inspirasi kepada transformasi positif ekonomi negara,” katanya.

Mengenai kriteria pendaftaran dan pemilihan untuk menyertai program latihan, peserta mestilah pengasas/pengasas bersama atau pemilik perniagaan yang didaftarkan secara rasmi dan telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Keperluan lain termasuk rujukan dalam permohonan mereka (rujukan dari rakan kongsi/ penganjur digalakkan).

“Peserta juga perlu mengemukakan lesen perniagaan rasmi apabila diminta semasa proses permohonan,” katanya sambil menambah usahawan wanita dan usahawan tempatan, serta golongan muda, pengasas, pengasas bersama atau pemilik perniagaan, digalakkan memohon.

Peserta akan belajar dan menerima pemahaman asas mengenai bagaimana teknologi baharu dan keupayaan ekonomi digital dapat membolehkan pembangunan negara.

Selain itu, Wong berkata para peserta akan memperoleh pandangan mendalam mengenai evolusi ekosistem Alibaba dalam konteks seluruh negara, termasuk kegagalan, kesilapan dan amalan terbaik melalui perkongsian daripada pengasas dan pemimpin perniagaan Alibaba.

“Mereka juga akan mendapat pembelajaran utama daripada perniagaan tradisional dalam pelbagai industri yang baru-baru ini melalui transformasi digital di China, dan mempunyai peluang untuk menyertai lapangan dan berinteraksi dengan perniagaan terkemuka dalam ekosistem Alibaba.

“Ini akan membantu mereka mendapatkan pandangan langsung mengenai inovasi semasa dan asas pemikiran strategik yang akan membolehkan mereka membuat peningkatan dalam perniagaan, industri dan ekosistem mereka sendiri,” kata Wong. — Bernama

Advertisement