Anda di sini

Lelaki terkejut ular melingkar dalam sangkar kucing

Advertisement
 Ular sawa yang dipercayai menelan dua ekor kucing peliharaan pemilik rumah berjaya ditangkap anggota APM Miri.
KEKENYANGAN: Ular sawa yang dipercayai menelan dua ekor kucing peliharaan pemilik rumah berjaya ditangkap anggota APM Miri.

MIRI: Seorang lelaki terperanjat apabila menemui seekor ular sawa melingkar kekenyangan dalam sangkar kucingnya di kediamannya di Jalan Tudan di sini, awal pagi semalam.

Kejadian disedari lelaki berusia 37 tahun itu, ketika hendak memberi makan dua kucing kesayangannya yang dikurung dalam sangkar berkenaan sekitar jam 7 pagi semalam.

Beliau percaya kedua-dua ekor kucing miliknya, seekor jantan dan seekor betina, telah dibaham ular sawa tersebut.

Bimbang dengan keselamatan diri, dia kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri untuk membantu menangkap ular tersebut.

Skuad Charlie APM yang menerima panggilan 7.50 pagi bergerak ke lokasi dengan diketuai Leftenan Mejar (PA) Azuan Kamin bersama tiga anggota.

Tiba di lokasi pada jam 8.17 pagi, Skuad Charlie berjumpa dengan pengadu dan bertanyakan lokasi ular yang dinyatakan.

Ular sawa batik bersaiz sebesar batang pinang sepanjang empat meter di dalam kandang kucing tersebut kemudian berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas.

Reptilia tersebut kemudian dibawa balik untuk disimpan dalam kandang ular yang telah disediakan di PKOD Miri.

Advertisement